KUALA LUMPUR – Warga kerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini meraikan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Ir. Azman Mohd dalam satu majlis penghargaan sempena berakhirnya perkhidmatan beliau berkuatkuasa Ahad ini.
Para pekerja membanjiri Dewan Serbaguna di Ibu Pejabat TNB di Bangsar untuk menyatakan terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan beliau selama 40 tahun sejak menyertai Lembaga Letrik Negara (LLN) sebagai Penolong Jurutera di Temerloh pada 3 Oktober 1979.
Azman, 62, yang dilantik menjadi CEO pada 1 Julai 2012, meninggalkan legasi yang kukuh untuk diwarisi lebih 35,000 warga kerja, melalui pelbagai inisiatif agar TNB sentiasa berdaya tahan menuju masa depan yang semakin mencabar.
Sambil mengucapkan syukur dan terima kasih atas sokongan warga kerja selama ini, Ir. Azman dalam perutusan terakhir sebagai CEO, berharap agar warga kerja TNB menjadi lebih kompetitif untuk bersaing.
“Segala inisiatif yang dilaksanakan diharap menjadi kunci kejayaan TNB pada masa akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette