BALING – Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) tidak akan menolak cadangan mana-mana pihak untuk menambah baik pendapatan petani dan pekebun kecil khususnya untuk memperkenalkan tanaman sampingan ketika harga komoditi negara seperti kelapa sawit dan getah merudum dan tidak menentu.
Pengerusinya, Datuk Mazlan Aliman berkata, pihaknya akan memastikan setiap cadangan tanaman sampingan itu dilakukan penyelidikan dan kajian sebelum diterima untuk dikomersialkan.
“Kita masih lagi di peringkat asas kita akan tengok dulu, kita tak menafikan saya menerima banyak kertas cadangan daripada pelbagai pihak yang mereka sedia jadikan produk dan tanaman mereka untuk kawasan Baling.
“Ada orang sebut tentang kopi, sebab syarikat dan kilang macam Nestle nak, ada orang sebut tentang guarana untuk eksport ke China.
“Saya ucap terima kasih kepada pihak-pihak yang berminat untuk membantu Baling ini dan Insya-Allah kita akan buat kajian.
“Sekarang ini pun kita nampak usaha-usaha ini sedang berjalan dengan baik dan ruang-ruang ini kita mesti manfaatkan, kita mesti ambil kesempatan,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas sesi taklimat sempena siri lawatan kerjanya di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Baling semalam.
Sebelum ini, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sedang giat mencari tanaman sampingan bagi mengatasi ketidaktentuan dan kejatuhan harga minyak sawit dan getah di pasaran.
Langkah itu diambil bagi membantu pekebun dan petani untuk memperoleh pendapatan tambahan sekaligus mengeluarkan golongan itu daripada kepompong kemiskinan khususnya di luar bandar akibat kebergantungan sumber pendapatan kepada tanaman komoditi semata-mata.
Mazlan juga berkata, pokok guarana antara tanaman sampingan yang berpotensi dan mendapat permintaan tinggi dalam pasaran China boleh diperkenalkan di negara.
“Sebenarnya saya tertarik bila kertas cadangan itu datang kepada saya dan kenapa tidak kalau pasaran sudah ada, contohnya pasaran sudah wujud di China.
“Permintaan besar daripada China ialah mi kuning dan memang orang China ini suka mi kuning dan saya difahamkan tepung guarana itu sangat baik dan disukai oleh masyrakat China.
“Bagi saya kenapa tidak? Kita tengah mencari ruang-ruang sedia ada, tempoh tuai pun tak lama, lebih kurang 14 hingga 15 bulan, jadi kita kena semaklah.
“Tapi saya tekankan kepada kertas cadangan kepada pihak yang ketengahkan itu, kita kena buat kajian dulu.
“Jadi pegawai-pegawai kita akan buat susulan di kawasan itu, di tapak tanaman itu dan potensi itu tentulah berkait dengan soal R&D (Kajian Penyelidikan dan Pembangunan) yang akan kita minta MARDI dan pihak-pihak terbabit supaya buat R&D,” katanya.
Katanya lagi, beliau yakin dengan kepelbagaian tanaman sampingan itu mampu membantu golongan pekebun luar bandar untuk menikmati kehidupan lebih baik tanpa perlu bergantung kepada hasil komoditi utama negara lagi.
“Saya yakin berdasarkan kepada perkembangan semasa melalui apa pun tanaman tak kira Guarana atau apa pun, kalau bagi kita itu baik, dan berpotensi dalam sektor pertanian kita, kenapa tidak kita ambil usaha ke atas itu,” katanya.
Ditanya tentang ciri-ciri tanaman sampingan yang ditetapkan oleh LPP, beliau berkata pihaknya sedang meneroka sumber kekayaan baharu dan antaranya ialah kelapa dan nenas.
“Sebab itu kita pilih Felda Sungai Tengi untuk dibuat tanaman nenas. Kita juga tengah mencari meneroka lagi apa dia sumber kekayaan baharu itu, jadi kita akan cari lagi, jadi bila kita cari itu, kita ada banyak.
“Ini semua dalam konteks bagaimana kita nak dapatkan pendapatan sampingan walaupun kita tahu komoditi sawit dan getah ini kita tak boleh ganti sebab ia meliputi tak kurang daripada 5 juta ekar tanah yang membabitkan komoditi.
“Tapi sekurang-kurangnya kita ada alternatif yang menjadi alernatif kepada komoditi sedia ada di mana kita tahu hari ini harganya tidak stabil,” katanya lagi. – MalaysiaGazette