Menara kawalan trafik udara Lapangan Terbang Sydney

SYDNEY- Semua penerbangan yang mahu berlepas dan mendarat di Lapangan Terbang Sydney dihalang daripada berbuat demikian apabila menara kawalan trafik udara terpaksa dikosongkan hari ini.

Pasukan bomba menerima panggilan pertama dari menara berkenaan pada jam 11.40 pagi apabila terdapat asap dikesan di menara berkenaan.

Dua krew Bomba dan Penyelamat NSW tiba di tempat kejadian sambil dibantu oleh pasukan bomba lapangan terbang.

Kira-kira 20 orang berjaya diselamatkan daripada bangunan berkenaan.

Menurut Bomba dan Penyelamat NSW, Superintendan Bryce Jonas, krew-krew penyelamat segera menemui punca asap berkenaan.

“Semasa krew tiba di menara berkenaan mereka terus melakukan pencarian namun tiada tanda-tanda kebakaran ditemui.

“Mereka menggunakan kamera imej termal untuk mengesan punca panas yang menyebabkan asap dan menemui sebiji bateri untuk kegunaan sistem sokongan komputer di menara tersebut terlalu panas dan berasap,” katanya kepada 9news.com.au.

Tiada kecederaan dilaporkan.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast