Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim.

KUALA LUMPUR – Nampaknya bukan sahaja pemimpin pembangkang tidak puashati dengan kerahsiaan laporan 100 hari Council Of The Eminent Persons (CEP).

Malah perkara yang sama turut disuarakan oleh pemimpin PKR Johor, Hassan Abdul Karim.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang merayu supaya Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membentangkan laporan 100 hari CEP itu di Parlimen untuk dibahaskan secara terbuka.

“Rakyat menaruh harapan yang tinggi apabila Perdana Menteri membentuk CEP sebaik sahaja membentuk kerajaan persekutuan yang baru selepas PRU-14 pada 9 Mei 2018.

“Oleh kerana itu saya selaku Ahli Parlimen amat kecewa apabila kerajaan memberitahu Dewan Rakyat semalam 29 Mac lalu bahawa laporan CEP dijadikan rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanipa Maidin berkata laporan 100 hari CEP tertakluk di bawah OSA dan hanya Perdana Menteri ada akses terhadapnya.

“Apa yang hendak dirahsiakan rekod pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional daripada pengetahuan rakyat?

“Jadi saya merayu kepada Perdana Menteri supaya bentangkan laporan CEP itu pada sidang Dewan Rakyat sekarang ini yang sedang berjalan sehingga 11 April ini,” katanya lagi.

Sebelum itu, pada hari ini, isu yang sama turut dipertikai oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah yang juga veteran UMNO.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/03/29/laporan-cep-apa-guna-rahsia-kalau-beritahu-rakyat/