Logo Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Pinjaman terjejas kasar keseluruhan meningkat sedikit disebabkan oleh beberapa peminjam korporat yang bermasalah.

Bagaimanapun, nisbah pinjaman terjejas bank-bank stabil pada 0.9 peratus.

Bank Negara Malaysia berkata, selain itu, bank-bank terus mengekalkan penampan yang mencukupi terhadap kemungkinan kerugian kredit dengan nisbah jumlah peruntukan kepada jumlah pinjaman mampan pada 1.4 peratus.

Dalam laporan Soroton Bulanan-Februari, Bank Pusat itu berkata, ringgit menambah nilai sebanyak 0.5 peratus berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) pada bulan Februari, disokong oleh aliran masuk portfolio bukan pemastautin ke dalam pasaran bon.

Penambahan nilai ini adalah sejajar dengan trend serantau dan didorong oleh kesanggupan pelabur global mengambil risiko yang lebih tinggi.

Kadar hasil MGS (Sekuriti Kerajaan Malaysia) 10 tahun menyusut 17.4 mata asas, didorong oleh aliran masuk bukan pemastautin sebanyak RM5.7 bilion ke dalam pasaran bon Kerajaan pada bulan itu.

FBM KLCI meningkat 1.4 peratus, disokong oleh keadaan sentimen dalam negeri yang bertambah baik dalam sektor pembinaan dan lanjutan perbincangan perdagangan antara AS dengan China.

Inflasi keseluruhan mencatatkan angka negatif yang lebih kecil iaitu -0.4 peratus pada bulan Februari (Januari: -0.7%).

Menurut BNM, inflasi pengangkutan kekal negatif, namun sumbangannya yang negatif kepada inflasi mengecil berikutan kenaikan harga minyak global pada bulan Februari.

Inflasi makanan kekal stabil pada 1.0 peratus (Januari: 1.0%). Inflasi yang lebih tinggi bagi makanan di luar rumah telah diimbangi oleh inflasi yang lebih rendah bagi beberapa jenis makanan segar.

Tidak termasuk kesan perubahan dasar cukai penggunaan, inflasi teras meningkat kepada 1.6 peratus pada bulan Februari 2019 (Januari: 1.5%).

Dalam pada itu, Indeks Pengeluaran Industri (IPI) keseluruhan yang terkini mencatatkan kadar pertumbuhan yang lebih rendah sedikit pada 3.2 peratus dari tahun ke tahun pada bulan Januari 2019 (Dis 18: 3.4%).

Pertumbuhan sektor perkilangan menurun sedikit kepada 4.2 peratus pada bulan Januari 2019 daripada 4.4 peratus pada bulan sebelumnya disebabkan oleh pengeluaran elektronik yang lebih rendah, sejajar dengan sebahagian negara rantaian nilai global elektrik dan elektronik (E&E) lain.

Yang ketara, pengeluaran berkaitan sumber mencatatkan pemulihan yang kukuh disebabkan oleh hasil pengeluaran produk yang berasaskan minyak sawit meningkat dalam keadaan cuaca yang bertambah baik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast