ADDIS ABABA – Para penyiasat yang memeriksa pesawat nahas Boeing 737 Max 8 milik Ethiopia Airlines telah membuat keputusan awal bahawa ciri kawalan penerbangan secara automatik telah diaktifkan sebelum ia terhempas.
Wall Street Journal yang memetik sumber berkata, hasil siasatan itu didedahkan pada taklimat di Pihak Berkuasa Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat.
Akhbar itu, yang menyebutkan sumber yang tidak disebut namanya, berkata penemuan itu disampaikan pada hari Khamis dengan taklimat di Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA).
Ciri kawalan penerbangan bertujuan membantu menghalang pesawat daripada terhenti.
Boeing berkata, ia tidak dapat memberi komen kerana siasatan masih dijalankan.
Ia berkata, semua pertanyaan perlu dirujuk kepada pihak berkuasa penyiasat.
Sementara itu, Kementerian Pengangkutan Ethiopia berkata: “Kami telah melihat laporan WSJ, kami akan memberi ulasan segera”.
Sistem Pengembangan Ciri-ciri Kawalan Pergerakan (MCAS) juga terlibat menyebabkan kemalangan maut oleh Lion Air di Indonesia tahun lepas.
Kedua-dua nahas itu telah mengorbankan 346 nyawa.
Perisian MCAS direka untuk mengelakkan 737 Max 8 daripada terhenti.
Ia bertindak balas apabila alat pengimbas di dalam muncung pesawat menunjukkan pesawat naik pada ketinggian sudut yang terlalu curam, yang boleh menyebabkan pesawat terhenti.
Tetapi siasatan terhadap penerbangan Lion Air pada tahun lalu mencadangkan sistem tidak berfungsi dan memaksa muncung kapal terbang turun lebih daripada 20 kali sebelum ia terhempas ke laut yang membunuh semua 189 penumpang dan anak kapal.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan AS (FAA) mengatakan terdapat persamaan antara kemalangan itu dan kemalangan Ethiopia pada 10 Mac.
Boeing telah mengubah reka bentuk perisian supaya ia akan mematikan MCAS jika ia menerima data yang bertentangan daripada alat pengimbas. – MalaysiaGazette