KUALA LUMPUR – Richiamo Coffee Sdn Bhd (Richiamo Coffee), rangkaian kafe kopi premium milik 100 peratus Bumiputera telah membuka cawangannya yang ke-12 hari ini di pusat membeli belah Bandar Mahkota Cheras (BMC Mall), baru-baru ini.
Ia diusahakan oleh AAA Coffee Shop yang merupakan cawangan kedua selepas cawangan pertama dibuka di UiTM Puncak Alam beberapa bulan yang lalu.
Pemilik AAA Coffee Shop, Adam Kassim berkata, beliau diberi lesen oleh pemegang jenama Richiamo Coffee untuk mengembangkan perniagaan kafe tersebut beberapa bulan lalu selepas tertarik dengan konsep serta persekitaran perniagaan yang diwujudkan itu.
Katanya, Richiamo Coffee merupakan satu jenama kafe baru di negara ini yang dilihat mampu bersaing dengan jenama-jenama terkenal yang telah lama wujud.
“Nilai yang ditawarkan oleh Richiamo Coffee amat berbaloi untuk usahawan baru yang ingin menceburi bidang jualan runcit malah jika dibandingkan harga minuman dan makanan yang dijual ia amat berbaloi,” katanya.
Adam berkata, francais yang ditawarkan oleh Richiamo Coffee buat masa ini amat menarik dan sukar untuknditolak dan ia amat bagus untuk usahawan baru yang berminat berkecimpung dalam perniagaan runcit seperti
ini.
Walaupun jenama baru dan mungkin tidak dikenali bagi sesetengah orang, apa yang ditawarkan oleh Richiamo Coffee ini adalah jenama dan produk premium.
“Jenama dan produk adalah premium tetapi harga sangat berbaloi dan mampu dinikmati oleh semua golongan penggemar kopi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Richiamo Coffee, Mohd Zamry Abu Samah berkata, pihaknya bersedia untuk membantu mana-mana pihak untuk menceburi perniagaan kafe ini.
Beliau berkata, modal permulaan bagi membuka kafe kopi premium ini antara RM150,000 hingga RM200,000 bergantung kepada saiz dan lokasi.
“Buat masa ini, kami mengenakan yuran lessen yang berpatutan bagi menggunakan jenama ini,” katanya.
Mohd Zamry berkata, apa yang ditawarkan oleh Richiamo Coffee ialah kopi yang digunakan adalah yang berkualiti tinggi setanding dengan jenama yang ada di pasaran ketika ini.
Jika dibandingkan dengan harga, pihaknya berkata ia adalah 45 peratus lebih murah daripada harga kopi di kafe kopi premium antarabangsa. – MalaysiaGazette