MARAN – Lima sekeluarga maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dan dua kereta di Batu 13, Jalan Kuantan-Temerloh, dekat sini, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Nor Hisham Mohammad berkata, kemalangan membabitkan Toyota Hilux, Proton Iswara dan Perodua Myvi itu menyebabkan lima mangsa termasuk seorang kanak-kanak lelaki maut di tempat kejadian manakala tiga mengalami kecederaan.
“Kami menerima panggilan pada jam 2.48 petang sebelum satu jentera bersama seorang pegawai dan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Maran dikejarkan ke lokasi bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit,” katanya dalam kenyataan di sini.
Bagaimanapun, katanya, identiti kesemua mangsa masih belum di dikenal pasti.
Menuurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat manakala yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah untuk rawatan.
— BERNAMA