Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menunjukkan kad Xtra20 pada Majlis Pelancaran Xtra20 dan Railtime di Stesen Sentral, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 31 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) enggan mencampuri urusan dan bidang kuasa mahkamah untuk membenarkan atau tidak perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disiarkan secara langsung.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, walaupun beliau tidak menolak kewajarannya namun ia tertakluk kepada bidang kuasa mahkamah.

“Itu adalah di bawah bidang kuasa mahkamah, kita beri mahkamah untuk memutuskan walaupun kita merasakan bahawa rakyat ingin mengetahui bagaimana perjalanan perbicaraan Datuk Seri Najib

“Apa yang kita dapati bersalah tetap bersalah,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kad Diskaun Xtra20 KTM Komuter, di Kuala Lumpur Sentral hari ini.

MGF31032019_Majlis Pelancaran Xtra20 dan MyRailtime_11
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bercakap pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Xtra20 dan Railtime di Stesen Sentral, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 31 MAC 2019

Sebelum ini, Penasihat NGO-NGO Saudara Islam SeMalaysia, Shafik Abdullah menggesa Mahkamah Persekutuan membenarkan perbicaraan bagi kes melibatkan Najib disiar secara langsung termasuk menerusi stesen televisyen tempatan.

Pada 28 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 3 April ini untuk perbicaraan tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta terhadap Ahli Parlimen Pekan itu.

Ia susulan keputusan Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan Ahli Parlimen Pekan itu menangguhkan perbicaraan kesnya.

Perbicaraan kes itu pada awalnya dijadualkan bermula 12 Februari sehingga 29 Mac ini tetapi ditangguhkan sebanyak dua kali selepas Mahkamah Rayuan pada 11 Februari dan 21 Mac lalu membenarkan permohonan penangguhan.

Pada 4 Julai tahun lalu, Najib, 66, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas pertuduhan tiga pertuduhan pecah amanah serta satu pertuduhan menyalahgunakan jawatan berhubung dana SRC. – MalaysiaGazette