KALIMANTAN- Hanya tinggal 12 hingga 15 ekor badak sumbu Sumatera sahaja yang masih tinggal di Kutai Besar dan Mahakam Ulu, Kalimantan Timur ketika ini.
Menurut Ketua Agensi Konservasi Sumber Asli (BKSDA), Sunandar Trigunajasa, pemburuhan haram dan gangguan habitat menjadi penyumbang utama kepada kepupusan badak sumbu di dalam hutan.
“Melepaskan badak-badak sumbu ke dalam hutan adalah langkah penting dalam memulakan usaha menyelamatkan populasi haiwan liar yang semakin pupus itu,” katanya selepas melepaskan seekor badak sumbu betina, Pahu di kawasan Konservasi Badak Sumbu Kelian baru-baru ini.
Pahu sebelum itu diselamatkan selepas terperangkap dalam perangkap pemburu haram dan terpaksa melalui proses rehabilitasi selama tiga bulan.
Pasukan penyelamat kini sedang cuba mencari pasangan kepada Pahu yang dianggarkan berusia lebih 25 tahun bagi membolehkan mereka mempunyai anak dan sekaligus meningkatkan jumlah badak sumbu.
“Pahu tidak muda lagi, mungkin berusia lebih 25 tahun jadi cabaran seterusnya adalah untuk mencari badak sumbu jantan di Kalimantan yang mana kami percaya masih berkeliaran di dalam hutan.
“Kehadiran badak sumbu jantan dalam kawasan conservasi boleh membantu menjayakan program pembiakan.
“Sekarang, pasukan kami sedang cuba mencari badak sumbu jantan di Kalimantan,” kata Ketua Pengarah Konservasi Sumber Asli dan Ekosistem, Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan, Wiratno.- MalaysiaGazette