Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Subang Jaya, Liew Keng Joe berjumpa dengan Muhammad Adib Kassim di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.

SHAH ALAM -Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim kelihatan beremosi ketika ditanya sama ada dia dipukul atau dilanggar.

Demikian kata Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah Subang Jaya, Liew Keng Joe sebagai saksi ke -28 inkues kematian anggota bomba itu kepada Mahkamah Koroner hari ini.

Beliau berkata demikian sewaktu menceritakan semula pertemuan kali keduanya dengan Adib di Institut Jantung Negara (IJN) pada pagi 12 Disember 2018.

“Semasa itu saya bersama pegawai PRO IJN. Dia bawa saya naik ke  Unit Rawatan Rapi (ICU IJN)  masa itu saya jumpa doktor  pakar Datuk Dr. Ezani (Perunding Kanan Pakar Pembedahan Kardiotorosik Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr. Mohamed Ezani Md Taib).

“Saya nampak Adib sedar, duduk di atas sebuah kerusi dan di sebelah kiri Adib ada empat, lima orang jururawat .

“Selepas kenalkan diri, saya tanya Adib adakah dilanggar atau dipukul?

“Adib tidak dapat menjawab cuma gerak ke kiri ke kanan pandangan saya dia dalam keadaan beremosi tangan kirinya cuba tarik hos dari mulut tapi dihalang jururawat di sebelah kirinya,” katanya.

Liew berkata,  Mohamed Ezani kemudian memaklumkan kepadanya Adib mingkin hilang ingatan selepas kejadian kerana pada waktu itu tekanan darahnya rendah.

Walaupun Adib ditanya oleh jururawat sama ada mahu menggunakan papan tulis namun anggota bomba itu menggeleng tanda enggan menjawab apa-apa soalan.

“Adib mungkin hilang ingatan selepas kejadian kerana tekanan darah yang rendah. Saya tidak tanya lagi salah seorang jururawat tanya Adib mahu menulis di whiteboard? Adib cuma menggeleng kepala,” ujarnya.

Terdahulu,  Liew memaklumkan  beliau pergi Unit Rawatan Rapi IJN kali pertama pada 28 November dan kedua pada 12 dan kali terakhir pada 17 Disember 2018 dan kedua-dua masa itu Adib dalam keadaan tidak sedarkan diri. -MalaysiaGazette