Nicolas Maduro
Nicolas Maduro. foto Agensi

CARACAS – Situasi di Venezuela semakin hari semakin kritikal dengan kemelesetan ekonomi teruk apabila terbaru, Presiden Nicolas Maduro membuat pengumuman akan mencatu elektrik untuk tempoh 30 hari dengan jaminan bekalan air tidak terjejas.

Agensi melaporkan, keputusan itu dibuat susulan tindakan mengurangkan waktu bekerja dan menutup sekolah susulan krisis bekalan elektrik di negara itu ketika krisis memuncak pada masa ini.

Maduro dalam siaran langsung disiarkan di televisyen lewat semalam berkata, beliau terpaksa bertindak sedemikian kerana dipersalahkan mensabotaj bekalan elektrik yang kerap terputus sepanjang Mac lalu, bekalan elektrik yang tidak mencukupi dan krisis tenaga yang masih berterusan.

Ia adalah langkah drastik terbaharu untuk menangani krisis elektrik teruk dengan Maduro dan kerajaannya menyalahkan fenomena cuaca El Nino yang menyebabkan kemarau.

Jelas Maduro, dengan infrastruktur yang tidak teratur, kekurangan pelaburan dalam industri tenaga dan penyelenggaraan menjadi penyebab kepada masalah bekalan elektrik di negara itu.

Semalam, Menteri Komunikasi Venezuela, Jorge Rodriguez memberitahu rakyat negara ini pihaknya terpasa mengumumkan pendekatan lain sebagai jalan penyelesaian kepada masalah kekurangan bekalan elektrik.

Krisis ekonomi negara itu meruncing ditambah pula dengan kadar inflasi yang tinggi serta penghijrahan golongan profesional.

Sekurang-kurangnya 25,000 orang dalam industri elektrik, sebahagian daripada 2.7 juta penduduk Venezuela yang berhijrah pada 2015, menyebabkan krisis itu seperti tidak ada jalan penyelesaian.

Pengkritik berkata, krisis itu adalah kesan salah tadbir ekonomi selama bertahun-tahun.

Opposition demonstrators take part in a women’s rally against Nicolas Maduro’s government in San Cristobal

Maduro kini menghadapi tekanan pembangkang yang bermati-matian mahu menggulingkannya apabila mereka mengawal dewan perundangan pada Januari lalu selepas memenangi pilihan raya dan menyalahkan beliau terhadap krisis ekonomi.

Ekonomi Venezuela merudum sejajar dengan kejatuhan harga minyak iaitu sumber pendapatan asing utamanya selain kekurangan ubat-ubatan serta barangan seperti tisu tandas dan minyak masak.

Minggu lalu kerajaan menyatakan Venezuela akan menganjak zon masa negara itu 30 minit ke hadapan untuk menjimatkan tenaga.

Langkah lain termasuk memberikan kakitangan kerajaan hari rehat tambahan setiap minggu untuk tempoh dua bulan akan datang.

Malah Maduro juga berterusan menggesa wanita di negara itu mengurangkan penggunaan pengering rambut bagi membantu kerajaan menangani situasi tersebut. –MalaysiaGazette