LIVERPOOL – Pasukan Liverpool mempunyai harapan untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris selepas melakar kemenangan dramatik 2-1 ke atas Tottenham dalam perlawanan yang berlangsung di Anfield, malam tadi.
Ketika permainan memasuki minit ke-90, Liverpool kelihatan akan keciciran dua mata penting.
Selepas Roberto Firmino meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-16, gol penyamaan Lucas Moura di minit ke-70 menjadikan aksi di Anfield amat mendebarkan.
Kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan dan berpeluang menambah gol menuju 30 minit terakhir permainan.
Jurulatih Liverpool, Jurgen Klopp terpaksa melakukan tiga pertukaran dalam misi mencari jaringan dan pada masa sama mengelak gawang dibolosi.
Klopp mengeluarkan kapten serta naib ketua pasukan, Jordan Henderson serta James Milner untuk diganti dengan Divock Origi dan Fabinho.
Sejurus selepas memperoleh gol kemenangan, Klopp mengeluarkan Salah dan memasukkan pertahanan tengah, Dejan Lovren. – MalaysiaGazette