Tan Sri Muhyiddin Yassin
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 01 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, tindakan UMNO-Pas melancarkan jihad untuk menentang Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana anti Islam hanyalah gimik politik semata-mata.

Beliau menegaskan, dakwaan UMNO-Pas itu tidak berasas dan segala keputusan dibuat secara bersama antara empat parti komponen dalam mesyuarat kabinet.

“Itu tidak benar, tiada mana-mana menteri boleh tentukan, keputusan ditentukan oleh kabinet dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

“Apa yang Datuk Seri Abdul Hadi Awang cuba buat ialah untuk mewujudkan ketakutan yang tidak berasas dalam kalangan orang Melayu dan Islam.

“Kalau DAP dipertanggungjawabkan dalam pendidikan atau kewangan walaupun ada kuasa, mereka kena bincang dalam kabinet dan buat keputusan dalam mesyuarat kabinet.

“Saya rasa ini adalah sebahagian daripada gimik (politik) hari ini kerap timbul isu kaum dan agama dimainkan untuk mewujudkan kebimbangan tidak perlu dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon bahawa kerjasama UMNO-Pas merupakan jihad untuk menumbangkan Kerajaan PH yang anti Islam kepada kerajaan Melayu dan Islam.

Ismail Sabri juga dilaporkan berkata, kewujudan kerajaan pada hari ini dikuasai ahli Parlimen bukan Islam yang mempunyai jumlah kerusi majoriti dalam Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga memberitahu politik yang dimainkan UMNO dan Pas tidak sesuai diamalkan di negara ini dan PH sentiasa menekankan keperluan supaya semua rakyat Malaysia bersama dan menghormati antara satu sama lain.

“Apa yang perlu kita lihat ialah kerajaan PH adalah sama rata dan adil sejak hari pertama kita diberi mandat untuk mentadbir kerajaan dan kita mesti tunjukkan apa yang kita kata.

“Sebarang dakwaan oleh mana-mana parti khususnya Pas yang menimbulkan ketidaktenteraman dan mereka perlu bertangunggjawab,” katanya lagi. – MalaysiaGazette