PRK RANTAU – Calon bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, R Malar membuat sedikit kelainan daripada calon-calon lain.
Bukan dengan ceramah panjang lebar sebaliknyabeliau hanya menayangkan video manifesto untuk pengundi Rantau.
Bagaimanapun, para wartawan yang hadir lebih ramai daripada pengundi Rantau sendiri.
Pelancaran manifesto ini dijadualkan berlangsung pada jam 8 malam namun disebabkan masalah teknikal majlis hanya dimulakan 20 minit kemudian.
Namun para media terharu dengan kesungguhan Malar untuk memulakan rentak perjuangan beliau selaku salah seorang calon PRK DUN Rantau.
“Maaf sebab lambat lancar manifesto malam ini sebab itu saya perlukan peruntukan daripada orang ramai,” katanya sebelum melancarkan manifestonya, sebentar tadi.
Hadir menyaksikan pelancaran manifesto suri rumah itu adalah calon bebas PRK Semenyih, Kuan Chee Heng atau Uncle Kentang.
Antara yang diketengahkan Malar adalah konsep kitar semula, baik pulih jalanraya, dan membaik pulih sistem pengangkutan yang lebih efisien.
“Berikan Rantau kepada saya. Saya minta Rantau untuk mewakili anda di DUN. Berikan Rantau kepada saya,” katanya lagi.
Malar antara dua calon bebas yang bertanding di PRK DUN Rantau selain bekas Ahli Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Nor Yassin. – MalaysiaGazette