Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendakwa, Istana Johor dan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian tidak dimaklumkan mengenai projek pemindahan kapal ke kapal (STS) di negeri itu.

Bukan sahaja Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tidak tahu mengenai projek tersebut, malah menurut Tunku Mahkota Johor itu, kerajaan negeri termasuk Pejabat Tanah dan Galian juga tidak maklum.

pautan audio: https://vocaroo.com/i/s0HjDLMFYJJU

“Sesiapa yang mengatakan Johor maklum mengenai projek ini adalah satu pembohongan,” tegas Tunku Ismail di laman sosial Faebook dan Twitter.

Menurut beliau, apa sahaja yang berada di dalam jarak 3 batu nautika di perairan Johor terutama sekali perkara berkenaan tanah dan air adalah hak mutlak negeri.

“Adakah Putrajaya cuba untuk mengambil alih kuasa negeri?” soal beliau yang mendakwa Putrajaya telah melakukan dua perkara yang tidak mengikut Perlembagaan apabila tidak memaklumkan projek itu kepada Sultan Ibrahim.

Sedangkan, katanya, projek STS berada dalam perairan negeri Johor.

Osman dalam rakaman audio yang disertakan dalam hantaran Tunku Ismail itu berkata, beliau tiada di Johor selama dua hari dan tidak menerima sebarang berita mengenai isu berkenaan.

Katanya, beliau hanya maklum mengenai perkara tersebut menerusi pesanan Whatsapp yang tular.

Tengah hari tadi Perdana Menteri, TunDr Mahathir Mohamad menolak dakwaan kerajaan negeri tidak tahu dan tidak meluluskan pembangunan hab pemindahan STS di Johor.

Katanya, beliau sudah menemui Osman semalam dan berbincang mengenai projek itu.

Beliau turut menafikan Putrajaya melangkaui bidang kuasa kerajaan negeri kerana perbincangan diadakan dalam jangka lama, termasuk untuk menangani tuntutan Singapura yang projek itu menceroboh perairannya.

Dr Mahathir berkata demikian selepas menyaksikan KA Petra Sdn Bhd dan Hutchison Port Holdings Ltd menandatangani perjanjian membangunkan hab STS terbesar di dunia itu dengan anggaran kos AS$150 juta hingga AS$180 juta.

Tunku Mahkota Johor dalam hantaran tersebut turut membangkitkan perkara kedua yang beliau sifatkan melanggar Perlembagaan itu berhubung isu ratifikasi Statut Rom.

Katanya, kerajaan telah menandatangi instrumen ini tanpa mendapat perkenan Majlis Raja-Raja. – MalaysiaGazette