Dr Ibrahim Ali
Dr Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa penaja Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) sedih dan kecewa dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) kerana belum memberi kata putus berhubung permohonan penubuhan parti baharu itu.

Presiden penaja, Datuk Dr. Ibrahim Ali yang hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini untuk mendengar semakan kehakiman berkata, pihaknya terpaksa menunggu begitu lama untuk mendapatkan jawapan dari ROS.

Katanya, sikap ROS melenggah-lenggahkan proses kelulusan itu sehingga enam bulan belum ada keputusan menyebabkan beliau membawa kes itu ke mahkamah.

“Kami bawa kes permohonan parti Putra ini ke mahkamah kerana tempoh permohonan sudah mencecah enam bulan, sedangkan Piagam Pelanggan menyatakan lima hari sahaja.

“Saya dan rakan yang terlibat dengan penubuhan Putra ini amat dukacita dan sedih kerana terpaksa menunggu begitu lama,” katanya pada sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Tinggi Jalan Duta di sini, hari ini.

Dr. Ibrahim yang merupakan bekas Ahli Parlimen Pasir Mas menyeru rakyat Malaysia dan umat Islam khususnya supaya bersama mereka mendoakan parti Putra diluluskan.

Dengan wujudnya parti baharu itu, katanya, Putra boleh memainkan peranan untuk pembangunan negara dalam semua aspek.

Mengulas lanjut, Dr. Ibrahim menjelaskan, pada zaman kerajaan Barisan Nasional (BN), ketika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memohon penubuhannya, ROS mengambil masa sebulan sahaja.

Bagaimanapun, di zaman kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH), sudah lebih enam bulan parti Putra mengemukakan permohonan, belum mendapat sebarang jawapan.

“Saya sekali lagi merayu, mengesa dan mendesak kerajaan PH khususnya ROS berlaku adil kepada kami yang hendak menubuhkan Putra ini mengikut saluran rule of law,” katanya.

Ditanya kenapa perlu ada parti baharu, sedangkan sudah banyak parti mewakili pelbagai kaum dalam PH dan BN, beliau menjawab, apa salahnya kalau ada parti baharu.

“Kalau ada parti baharu pun apa salahnya, kita mengamalkan demokrasi, setiap pihak boleh menubuhkan parti politik dan NGO. Ini kebebasan bersuara.

“Kita tengok masyarakat India, berapa banyak mereka ada parti kalau dibandingkan dengan jumlah penduduknya,” kata beliau.

Beliau menganggap masih ada lagi ruang untuk menubuhkan parti politik kerana parti sedia ada dengan ideologi masing-masing.

Katanya, ada kalangan rakyat melihat serta mencari lagi ruang parti baharu yang mungkin berselera dengan pemikiran mereka.

Mengenai matlamat penubuhan parti itu, Dr. Ibrahim menjelaskan, Putra akan berfungsi sebagai sebuah parti politik yang diizin undang-undang, iaitu boleh menyertai pilihan raya.

“Dari segi matlamat kita terkandung dalam perlembagaan yang kita kemukakan kepada ROS dan kemudian kita juga akan mempunyai rangka manifesto kita.

“Yang penting, manifesto kita ialah janji yang ditepati, bukan janji tidak ditepati,” katanya. – MalaysiaGazette