Antara makanan yang dihidang pada Ceramah Bersama Masyarakat India sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Taman Sri Ramai, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 02 APRIL 2019

PRK RANTAU – Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 (Bersih 2.0), Thomas Fann menegaskan tindakan badan bukan kerajaan (NGO) memberikan jamuan kepada pengundi semasa ceramah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap menjadi kesalahan dalam Bahagian 3, Kesalahan Rasuah di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2012).

Ujarnya, larangan yang dikuatkuasakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu bukan sahaja termaktub kepada calon dan parti sahaja, namun juga perlu dipatuhi semua pihak.

“Adalah menjadi kesalahan memberikan jamuan (kepada pengundi) di bawah Seksyen 8. Kesalahan ini tidak terhad kepada calon, ejen tetapi sesiapa sahaja yang menyediakan makanan, minuman, dan lain-lain,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Semalam, ketika Anwar Ibrahim berkempen di Taman Sri Ramai, Kuala Sawah pengundi di kawasan itu disajikan dengan hidangan nasi lemak oleh sebuah NGO.

Malah Anwar dan juga calon Pakatan Harapan (PH), Dr S Streram turut dijamu dengan capati di meja tetamu khas.

“Ini program bawah kelolaan NGO, mereka jemput dan kena tanya mereka mengapa buat jamuan.

“Calon pun hadir? Itu kena tanya NGO, saya datang atas jemputan,” kata Anwar kepada media, semalam.

Selain Streram, pemimpin lain yang hadir pada majlis berkenaan ialah Ahli Parlimen Selayang William Young dan beberapa pemimpin PKR.

Mengulas lanjut, Fann berkata penganjur program tersebut sepatutnya dipersalahkan kerana telah melakukan kesalahan dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2012).

“Dalam hal ini, penganjur yang telah melakukan kesalahan itu,” katanya lagi.

Menurut salah seorang wakil penganjur program itu, jamuan tersebut dianjurkan penduduk sekitar Taman Sri Ramai dengan dibantu pemimpin PKR peringkat cabang.

Katanya, ia diadakan sebagai adat menghormati tetamu termasuk Anwar.

“Penduduk datang jauh, takkan tak bagi makan. Datang saja-saja.

Malah pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang kebetulan ada di majlis berkenaan turut berkata jamuan kepada pengundi adalah satu kesalahan tidak kira ia dianjurkan oleh sesiapa pun.

Katanya, pihak penganjur sememangnya melakukan kesalahan kerana mengadakan jamuan kepada pengundi yang turut dihadiri calon PRK.

“Ikut peraturan SPR, memang salah tambahan lagi ada calon PH,” kata pegawai SPR tersebut. -MalaysiaGazette

Artikel berkaitan: Jamuan kepada pengundi: Anwar suruh tanya penganjur, SPR kata salah

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast