PRK RANTAU – Isu dan aduan penduduk termasuk S. Surendran yang mengaitkan ‘kematian’ bapanya dengan fasiliti perubatan tidak mencukupi dipandang serius oleh Dr. S. Streram.
Calon Pakatan Harapan (PH) PRK Rantau itu berkata, keluhan itu Surendran di Kampung Kayau Rantau dekat Seremban itu difahami olehnya yang juga seorang pakar bius.
“Sebagai doktor saya tahu ‘kesakitan’ penduduk di sini jika kehilangan nyawa ahli keluarga tersayang hanya disebabkan kecuaian selama 20 minit oleh penyedia kesihatan di Rantau dan ia satu kesalahan besar dalam sistem kesihatan sedia ada.
“Saya dimaklumkan pada kejadian 24 Januari lalu, sebenarnya ambulans sudah ada tetapi tiada sesiapa datang menghulurkan bantuan kepada mangsa (bapa Surendran) yang mengalami sesak nafas sehingga anaknya memandu sendiri ke hospital dan IJN (Institut Jantung Negara) sebelum meninggal dunia empat hari selepas menerima rawatan.
“Ini tidak adil dan kita perlu ambil serius perkara ini, saya sudah membincangkan dengan Timbalan Menteri Kesihatan semalam dan dia akan mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan untuk meneliti perkara ini secara serius,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di hadapan klinik berkenaan yang ditutup hari ini sempena hari kelepasan am sambutan Israk Mikraj semasa walkabout bertemu pengundi di sini hari ini.
Terdahulu, Surendran yang juga Pegawai Penyelenggaraan Glory Beach Resort mendakwa mendiang bapanya, Sellathurai P. Narayanan, 65, mungkin boleh ‘diselamatkan’ lagi sekiranya petugas Klinik Kesihatan Rantau bertindak pantas.
Pada 24 Januari lalu, kira-kira pukul 4 pagi, Surendran membawa ayah dan ibunya ke klinik berkenaan yang terletak kira-kira 200 meter dari kediamanya di Kampung Takau.
“Sejurus selepas saya tiba di klinik sekitar pukul 4.30 pagi ke ruang kecemasan dan meminta pertolongan, tiada kelibat kakitangan atau jururawat sebelum saya menghubungi nombor klinik yang tertera di pintu kecemasan tetapi tiada dalam perkkhidmatan.
“Kemudian saya lari ke arah pondok yang diparkir dua buah ambulan tetapi selepas mengetuk pintu beberapa kali tiada respon sebelum menghubungi talian kecemasan 999 meminta bantuan ambulan.
“Selepas 20 minit di sana saya terus membawa bapa ke Hospital Tunku Jaafar Seremban sebelum menerima panggilan pemandu ambulan yang menanyakan lokasi saya tinggal sebelum saya memaklumkan bapa sudah dimasukkan ke Hospital Seremban,” katanya ketika ditemui hari ini.
Bagaimanapun, Surendran dan ibunya terkejut apabila dilaporkan doktor keadaan bapanya kritikal dan berada di zon merah kerana lambat kira-kira 20 minit dibawa untuk mendapatkan rawatan.
Surendran seterusnya meminta Hospital Seremban memindahkan bapanya ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana bapanya mempunyai rekod rawatan jantung.
“Di IJN pun kami ditegur kerana lambat bertindak sebelum bapa meninggal dunia pada 12 tengah malam 28 Januari lalu. Saya memang kesal dengan kecuaian petugas Klinik Kesihatan Rantau sehingga menyebabkan saya ‘kehilangan’ bapa saya.
Dalam pada itu, Streram juga menyambut baik berita mengenai Hospital Rembau yang bakal beroperasi Jun ini oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Beliau menyatakan kegembiraan kerana tidak mungkin hospital itu selesai jika beliau sendiri tidak membangkitkannya dan calon Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan mendakwanya suka menyalahkan kerajaan dahulu dalam isu hospital yang sama.
“Kerajaan pusat di bawah pemerintahan BN dulu kenapa tidak dapat selesaikan isu (Hospital Rembau) ini? Kalau saya tak bangkitkan saya rasa semuanya serba salah dan disembunyikan di bawah karpet.- MalaysiaGazette