Dr. Wan Azizah Wan Ismail
Dr. Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Percanggahan pendapat antara Fuziah Salleh dan Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berhubung pelaburan Lynas Corporation Ltd. (Lynas) di Gebeng, Pahang disifatkan sebagai perdebatan yang sihat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, kenyataan yang dikeluarkan Menteri Pembangunan Usahawan dan Ahli Parlimen Kuantan itu merupakan usaha bagi mencari kaedah terbaik untuk manfaat negara.

“Ini (percanggahan) dikira perdebatan sihat kerana mereka berdua sama-sama memikirkan cara yang terbaik untuk negara,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Mengulas lanjut Ahli Parlimen Pandan berkata, Mohd. Redzuan berhak bersuara mengenai pelaburan syarikat dari Australia itu kerana beliau bertanggungjawab dalam meningkatkan bidang keusahawanan di negara ini.

“Isu Lynas ini ada dua cara untuk melihatnya, satu dari segi ekonomi dan keusahawanan dan ia berada di bawah tanggungjawab Mohd. Redzuan,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, kerajaan perlu juga memikirkan kesan pencemaran terhadap alam sekitar berikutan pembuangan sisa radioaktif syarikat tersebut.

“Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Yeo Bee Yin) perlu membuat pertimbangan kerana aspek pencemaran seperti yang berlaku di Sungai Kim Kim itu,” tambah beliau.

Semalam, Mohd. Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah mengingatkan Fuziah dan Bee Yin serta beberapa ahli Parlimen DAP supaya mengurangkan berpolitik dalam mentadbir.

Ingatan itu dikeluarkan susulan Fuziah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berpendapat Mohd. Redzuan tiada locus standi untuk mengulas lanjut mengenai pelaburan memproses nadir bumi itu. – MalaysiaGazette