KUALA LUMPUR – Kedudukan Perdana Menteri pada era Malaysia Baru ini jauh berbeza dengan pentadbiran Barisan Nasional (BN) apabila kuasa menentukan jawatan ditetapkan oleh pemimpin DAP.
Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan mendakwa, tanpa DAP, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak berpeluang untuk dilantik menjadi pemimpin nombor satu negara.
“Apabila Yang Berhormat Pekan (Datuk Seri Najib Razak) dan sebelum ini pun Perdana Menteri lain menjawat jawatan Perdana Menteri, mereka yang menentukan anggota pentadbiran.
“Perdana Menteri yang menentukan kedudukan menteri dan timbalan menteri. Sekiranya prestasi kita turun, tak kira dia ada lesen atau tidak, tumbuh saja bisul sikit, Menteri Dalam Negeri akan terus menyiasat tak kira sama ada dia anggota pentadbiran atau tidak.
“Hari ini keadaan berubah, anggota pentadbiran menentukan kedudukan Perdana Menteri, beza di antara dua darjat.
“Hari ini kalau DAP tarik diri, Mahathir tidak akan jadi Perdana Menteri,” katanya pada Sesi Town Hall Politik Malaysia Baharu di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Saravanan juga berkata, Mahathir bagaikan hilang kuasa apabila tidak boleh berbuat apa-apa sekiranya anggota pentadbirannya gagal menunjukkan prestasi baik.
“Kalau dulu anggota pentadbiran salah, Perdana Menteri boleh buat keputusan sama ada kekal atau tidak. Hari ini keadaan jauh berbeza, DAP yang menentukan sama ada Perdana Menteri boleh teruskan atau tidak?
“Maka segala kesilapan dan kesalahan akan diterima oleh Perdana Menteri, sebab itu kita tak lihat kemajuan di bawah PH,” katanya lagi. – MalaysiaGazette