KUALA LUMPUR – Parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA kehilangan banyak sokongan dan kerusi Parlimen sejak tahun 2008 bukan kerana parti itu lemah.
Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong sebaliknya berkata, taktik memburukkan UMNO hingga memberi kesan kepada komponen BN lain sehingga kini oleh Pakatan Harapan (PH) telah berjaya meracuni minda rakyat.
“Betul ada cakap sejak 2008 sokongan kepada BN makin kurang, Datuk Seri Najib (Razak) macam-macam dia buat, pakai baju Cina, pukul gendang, Najib bagus tapi orang tak boleh terima UMNO.
“Pada 2008, kalau seorang pemimpin buat kenyataan tak betul, yang lain akan sengsara, dia kata MCA baik, tapi saya tak terima UMNO.
“Dia (PH) gunakan taktik ini sejak 2008, dia belajar dari Taiwan, dia burukkan semua parti itu, semakin lama hingga 12 tahun inilah kesudahannya (BN tewas PRU-14),” katanya pada Sesi Town Hall Politik Malaysia Baharu di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Ka Siong juga berkata, MCA tidak akan sesekali keluar daripada gagasan BN meskipun dilihat bagaikan dicerai talak tiga.
“Kita tidak talak tiga, saya dari kampung orang Melayu, empat rumah sahaja Cina, semua orang Melayu tahu apa itu talak tiga.
“Kita bila bergaduh, mungkin kiri kanan kena jaga hati, mungkin kita berpisah seketika dan kita kena muhasabah. Apa yang tidak betul pada diri kita kena tengok balik.
“Saya minta selepas ini sebagai satu pasukan mantap, kita fikirkan kebaikan untuk semua kaum, itulah harapan untuk kita, bukan harapan di sebelah sana, itu haprak.
“Apa yang berlaku sekarang, yang diusahakan kita macam mana kita nak rombak struktur sama-sama,” katanya.
Sementara itu, Ka Siong turut menyindir kepimpinan PH yang dikatakan membuat segala keputusan secara konsensus sedangkan banyak keputusan tidak melalui Majlis Presiden PH.
“Kita lihat PH dia pandai, selalu kata ada Majlis Presiden PH tapi Tun Dr. Mahathir Mohamad buat keputusan dulu.
“Terima ahli PPBM, siapa buat keputusan? Guan Eng ditanya, oh kita belum mesyuarat, tapi orang sudah diberi kad keahlian,” katanya lagi. – MalaysiaGazette