KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) membidas sikap sesetengah pihak yang berterusan cuba melaga-lagakan dua Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketua Penerangannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, tindakan pihak tertentu tidak lebih sekadar untuk merosakkan hubungan baik itu dan mahu kembali memerintah di atas perpecahan ciptaan bekas parti pemerintah.
“Keadilan sedar ada pihak yang tidak dapat menerima kekalahan lalu dan cuba menanam ranjau atas gabungan erat Mahathir-Anwar ini.
“Keadilan menempelak pihak yang tidak sudah-sudah melaga-lagakan kedua-dua pemimpin besar ini.
“Sesungguhnya agenda rakus pihak terdesak itu sangat memualkan dan membelakangkan keutuhan negara hanya kerana ingin terus kembali di tampuk kuasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Shamsul selaku Timbalan Menteri Perusahaan Utama mengulas kenyataan Perdana Menteri dalam satu wawancara eksekutif dengan Pengarang Kanan News Straits Times (NST) di Putrajaya yang dipetik akhbar Berita Harian, hari ini.
Dalam wawancara itu, Dr Mahathir antara lain mengakui Anwar yang pernah menjadi bekas timbalan perdana menteri beliau sebagai seorang berpengalaman luas dan merupakan arkitek yang telah membentuk Pakatan Rakyat (PR).
Shamsul Iskandar juga berkata, PKR akur bahawa kejayaan itu tidak mungkin wujud tanpa pautan tangan serta strategi ampuh di bawah dua pemimpin besar itu.
“Keadilan sedar bahawa konflik dan sengketa lalu tidak akan pernah menghalang daripada dua tokoh berjiwa besar ini berganding bahu bagi memastikan kepentingan rakyat terus diperjuangkan dan dipelihara bagi memacu negara Malaysia menjadi sebuah negara disegani di dunia.
“Jelas kejayaan ini tidak datang bergolek tanpa sokongan padu seluruh rakyat Malaysia kepada gabungan parti-parti di bawah panji Pakatan Harapan (PH),” katanya.
Beliau juga berkata, PKR berikrar akan menjadi jambatan dan tali ikatan kepada semua pihak bagi memastikan persefahaman dan kerja keras antara Dr Mahathir dan Anwar akan terus diperkukuhkan.
“Ketika Malaysia sedang melangkah ke hadapan dan bangkit dari kemusnahan yang ditinggalkan oleh Barisan Nasional (BN), Keadilan menyeru agar seluruh rakyat Malaysia agar terus memberikan sokongan dan mandat kepada kedua-dua pemimpin ini untuk memacu Malaysia menuju menjadi sebuah negara yang aman, makmur, megah dan berdaulat.
“Keadilan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang tidak pernah lekang dan jemu menyatakan kepercayaannya kepada Presiden Keadilan itu sebagai pengganti beliau nanti,” katanya.
Beliau juga memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang sengaja ingin melihat kemusnahan gabungan Mahathir-Anwar.
“Berhenti mengadu domba sebaliknya berubahlah menjadi lebih positif demi kepentingan negara kita. Ini adalah masa untuk PH menabur bakti kepada rakyat.
“Kami PH serta gabungan Mahathir-Anwar ini telahpun dipilih dengan penuh air mata dan keringat oleh jutaan rakyat dan akhirnya telahpun beroleh kemenangan pada PRU14 lalu.
“Sesungguhnya, tidak semudah kami lepaskan kejayaan itu. Jika benar anak jantan tunggu hingga tiba masanya dan ayuh beradu lagi di PRU15,” katanya lagi. – MalaysiaGazette