Screenshot dari video yang tular mengenai insiden seorang pelawak berusia lewat 40an memukul pengawal keselamatan di kawasan perumahan di Nilai.

SEREMBAN — Seorang pelawak lelaki tempatan yang dikatakan mencederakan seorang pengawal keselamatan dalam kejadian pertengkaran di Taman Acacia, Nilai, Sabtu lepas, dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketua Polis Daerah Nilai, Supt Mohd Nor Marzukee Besar berkata, arahan itu dikeluarkan mahkamah selepas polis membuat permohonan untuk mendapatkan perintah reman pagi ini.

“Pelawak itu menyerah diri ke Balai Polis Nilai petang semalam dan pihak polis merakamkan keterangannya sebelum menahannya. Pagi ini, kita (polis) bawa lelaki itu ke mahkamah untuk memohon perintah reman namun mahkamah memerintahkan untuk dia dibebaskan dengan jamin.

“Bagaimanapun, kita masih meneruskan siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pelawak terbabit yang memakai kemeja dibawa dengan trak polis bersama tahanan lain tiba di Kompleks Mahkamah Seremban di sini, pada jam 8.30 pagi dan dibawa masuk ke Mahkamah Khas Reman untuk mendapatkan permohonan reman.

Sebelum itu, dia ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai ketika hadir untuk memberi keterangan jam 5 petang semalam.

Mohd Nor Marzukee berkata, dalam kejadian jam 8 malam kelmarin, pelawak itu yang memandu Proton Perdana memasuki kawasan perumahan tanpa kebenaran selepas mengekori kenderaan seorang penduduk di kawasan perumahan berkenaan.

“Selepas itu pengawal keselamatan menutup palang pos keselamatan dan mengejar kereta lelaki terbabit. Selang beberapa minit dia ingin keluar tetapi tidak boleh kerana palang ditutup.

“Lelaki itu turun dari kenderaan sebaik sahaja mangsa sampai lalu berlaku pertengkaran dan dia menumbuk muka mangsa sebanyak tiga kali selain menendang pinggang serta membaling batu,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA