Calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika menziarah jenazah Jariah Ahmad yang meninggal akibat jangkitan kuman dalam darah di Kampung Kanchong, Rantau, Negeri Sembilan. foto HAZROL ZAINAL, 08 APRIL 2019.

PRK RANTAU – Isu projek 242 rumah teres setingkat bagi generasi kedua Felda di Sendayan yang didakwa Pakatan Harapan (PH) sebagai gula-gula politik dibidas Datuk Seri Mohamad Hasan.

Menurut calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau itu, projek berkenaan tidak diteruskan kerana pemaju tidak mahu meneruskan projek.

“Pemaju tidak mahu teruskan dan saya tidak dapat buat apa. Cuba letak saya jadi Menteri Besar lagi, projek itu akan bermula.

“Terpulanglah macam mana kerajaan negeri akan uruskan projek itu sama ada mereka mendapat sokongan daripada pihak berkenaan atau pun tidak,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama (BGU) BN hari ini.

Semalam, Exco Perumahan Negeri Sembilan, Teo Kok Seong mendedahkan projek perumahan bagi generasi kedua Felda hanya janji BN untuk meraih undi pada PRU-14.

Malah katanya, pelancaran yang dibuat tiga hari sebelum PRU-14 itu hanyalah janji Mohamad.

Menepis dakwaan itu, Mohamad berkata, tanah untuk projek berkenaan sudah pun dimuktamadkan.

“Itu bukan untuk raih undi dan tanah pun sudah ada. Memang projek itu akan dibuat tetapi selepas PRU-14, keputusan pilihan raya itu tidak seperti yang dijangkakan maka pemaju pun tidak berhasrat untuk meneruskan. Jadi itu bukan masalah saya,” katanya lagi.

Pada perkembangan berkaitan, Mohamad mendesak kerajaan Negeri Sembilan merampas kembali tanah yang didakwa diberikan kepada kroninya ketika menjadi menteri besar.

“Rampaslah. Buat apa yang patut. Kalau ada perkara perkara yang menyalahi undang-undang kerajaan boleh buat apa sahaja.

“Tapi mesti faham tentang kanun tanah negara. Kanun tanah negara di dalam negara kita, kita mengikut Sistem Torent,” katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai Speaker DUN Negeri Sembilan, Zulkefly Mohamad Omar yang mendakwa Mohamad melakukan salah guna kuasa.

Zulkefly mendakwa ada dalam kalangan penerima itu yang tidak membayar cukai tanah selepas mendapat tanah berkenaan.

“Kita bincang dengan Yayasan (Negeri Sembilan) agar rampas (tanah) dan bagi pada mereka yang benar-benar boleh beri hasil pulangan (kepada kerajaan negeri),” katanya dalam satu ceramah di Kampung Mambau, Rantau, semalam.

Mengulas mengenai itu, Mohamad berkata, sekiranya kerajaan negeri mahu kembali tanah itu maka sejumlah pampasan harus diberikan kepada pemiliknya.

“Kalau dia nak ambil balik tanah tu dia kena bayar pampasan tetapi saya harap supaya cakap-cakap dia tu, dia buatlah ya. Jangan pakai cakap sahja. Buat. Rampaslah tanah-tanah yang dia nak rampas,” katanya lagi. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/08/projek-perumahan-felda-hanya-janji-kosong-bn/