RANTAU – DAP didesak supaya menghentikan memomokkan kerjasama UMNO-Pas yang didakwa akan menggugat masyarakat bukan Islam di negara ini.
Masyarakat Cina diminta tidak takut dengan gandingan dua parti Melayu itu.
Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, masyarakat Cina pula jangan membiarkan pemikuran mereka terus diracuni dengan kerjasama UMNO-Pas.
“Saya menyeru kepada masyarakat Cina jangan terus diracuni pemikiran mereka bahawa Pas haruslah ditakuti atau pemimpin UMNO akan menekan masyarakat Cina.
“Ini semua dimomokkan oleh DAP semata-mata,” katanya ketika menjadi seorang penceramah dalam program Ceramah Sepentas BN di Taman Kelab Tuanku di sini malam tadi.
Turut hadir, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, Presiden Makkal Sakti, Datuk Seri R S Thanenthiran dan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.
Jelasnya lagi, MCA telah bersetuju untuk kekal bersama BN kerana percaya gabungan itu boleh memberikan kelebihan kepada komponen tersebut.
“Kita ada cara dan pendekatan yang kita pegang. Inilah budaya politik majmuk BN,” katanya.
Sementara itu, Ahmad berkata, Pakatan Harapan (PH) jelas khuatir dengan permuafakatan yang dipamerkan UMNO dan Pas.
“Apa yang berlaku ini memberi kesedaran tinggi kepada kita untuk membina perpaduan yang benar dan sebetulnya di negara kita ini. Sebab, kita menerima hakikat bahawa negara kita ada kaum Melayu, Cina dan India.
“Pas dah memerintah Kelantan selama 28 tahun dan hubungan antara kaum amat baik.
“Setakat ini tidak ada satu insiden yang berlaku antara agama di Kelantan, kita hormat antara satu sama lain,” katanya.
Kesemua mereka berkempen bagi memenangkan calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang bakal mengambil tempat Sabtu ini. – MalaysiaGazette