Mohamad Hasan
Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan bercakap kepada media sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Rantau di Bn Command Centre, Rantau, Negeri Sembilan. foto FAREEZ FADZIL, 10 APRIL 2019.

PRK RANTAU – Datuk Seri Mohamad Hasan secara peribadi tidak meminati rumah berkonsepkan Minangkabau.

Beliau berkata, dirinya bukan berketurunan Minang dan konsep itu agak menyimpang daripada susur galurnya.

“Daripada segi reka bentuk pun tak sesuai (dengan saya). If you know me (kalaulah anda mengenali saya).

“Saya bukannya ada darah Minang pun. Masa saya jadi Menteri Besar, ramai orang marah mengapa saya tidak sambung legasi bangunan Negeri Sembilan mesti ikut reka bentuk Minangkabau.

“Saya telah pun ubahsuai supaya reka bentuk rumah Negeri Sembilan ada reka bentuk dia sendiri,” katanya di Bilik Gerakan Utama Barisan Nasional (BN) pagi ini.

Katanya, rumah tradisi Negeri Sembilan mempunyai serambi kecil manakala rumah Minang melengkung dengan ada bentuk tanduk.

Calon Pakatan Harapan (PH) PRK Rantau,  Dr S. Streram pada Isnin membangkitkan isu calon BN itu memiliki rumah banglo di Seremban 2, Negeri Sembilan yang memiliki rekaan seni bina rumah Minangkabau.

“Saya bukan tuduh ‘rumah Minangkabau’ itu milik Tok Mad tapi saya telah melihat video klip dan gambar rumah itu diviralkan dalam WhatsApp yang mendakwa rumah Tok Mad.

“Jadi, saya rasa adalah lebih baik sekiranya Tok Mad tampil memberi penjelasan dan membetulkan kedaan ekoran tercetus tuduhan mengenai rumah itu,” dakwa Streram.

Mengulas mengenai tuduhan itu, Mohamad bagaimanapun enggan melayan tuduhan tersebut.

Menurut Mohamad, beliau enggan melayan tuduhan ‘budak bodoh’ yang melemparkan serangan terhadap beliau sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

“Sila semak sama ada saya punya atau tidak (banglo di Seremban 2). Semua orang kata itu rumah saya, kalau rumah saya, maka itu rumah saya kalau bukan itu bukan rumah saya.

“Saya malas (nak layan isu ini), cerita budak bodoh yang main pondok-pondok,” katanya ketika ditemui meninjau proses undian awal di Dewan Angkasa Raya, Pangkalan Tentera Udara (TUDM) Sendayan semalam. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast