KUALA LUMPUR – “Tidak ada soalan susah ke? Tanyalah kepada saya bagaimana hendak tawan Palestin ke? Tanyalah begitu. Tanya tentang masalah atau krisis dunia ke. Baru mencabar.
Itu reaksi Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik sahaja selesai menjawab soalan wartawan mengenai isu peletakan jawatan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian di lobi Parlimen hari ini.
Presiden PKR itu turut berkongsi cerita tentang pengalamannya membuat keputusan besar dalam isu-isu antarabangsa.
“Saya kongsikan cerita ini, saya selalu buat keputusan ‘besar-besar’ macam isu China atau Amerika Syarikat (AS), itu saya.
“Isteri saya pula hal kecil-kecil seperti mana hendak tinggal, apa hendak makan dan sebagainya.
“Sebenarnya isteri saya yang kawal semuanya. Ada soalan lain? Tidak mahu tanya lagi yang lain-lain?” soalnya.
Terdahulu mengenai perkembangan di Johor terutama tentang calon yang bakal menggantikan Osman sebagai menteri besar, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau patuh kepada konsesus Pakatan Harapan.
“Kita serah kepada Tun Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menentukan bakal Menteri Besar ini. Setahu saya, calonnya juga dari Bersatu maknanya dari parti itu juga. Itu pendirian saya,” ujarnya.
Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan peletakan jawatan Osman berkuatkuasa Isnin lalu, tanpa menghuraikan lebih lanjut alasan beliau berbuat demikian.
Bercakap kepada wartawan selepas merasmikan Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur hari ini, Dr Mahathir berkata, kuasa melantik menteri besar adalah di dalam bidang kuasa politik dan bukannya hak mutlak Sultan Johor. – MalaysiaGazette