Rameli Musa
Datuk Dr. Rameli Musa. foto SYAFIQ AMBAK, 05 MAC 2019

KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Rameli Musa terkilan dan kesal selepas diheret dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) berhubung penyelesaian saman antara Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan pengasas portal Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.

Malah menurut Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Bhd. (KTMB) itu, kini namanya telah terjejas dan tercalar di luar negara di mana beliau banyak mencari rezeki.

“Tetapi saya kasihan mereka yang sebar fitna dan mereka yang mampu menyekat fitnah tetapi tidak berusaha untuk melakukannya,” katanya sambil menambah beliau turut kesal dilibatkan dalam ‘arena politik yang melampau batas’ seperti dipetik portal Malaysiakini.

Rameli dikaitkan dengan pembayaran cek RM1.4 juta apabila Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli sebelum ini memuat naik menerusi blog satu gambar dipercayai beliau bersama Abdul Hadi.

Ia dipercayai bertujuan membuktikan siapakah Rameli yang didakwa merupakan individu membayar kepada pihak Sarawak Report bagi menyelesaikan kes saman itu di luar mahkamah.

Rameli berkata, secara umum negara ini memerlukan pemimpin berwibawa, berintegriti serta beradab dan bersopan.

“Fitnah berleluasa kerana yang tahu buat tak tahu dan yang tak tahu tak mahu ambil tahu, dan tidak mahu mengaku,” katanya.

Pada 5 Mac lalu, Rameli memberi keterangan berhubung dakwaan pembayaran cek itu di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Berikutan perkara tersebut masih disiasat SPRM, beliau mengambil pendekatan berdiam diri dan turut enggan mengulas mengenai pertemuan dengan wakil Abdul Hadi.

“Tak mahu komen sangat. Saya sendiri tak ingat tarikh perjumpaan dan berapa kali,” katanya. – MalaysiaGazette