KUALA LUMPUR – Hairan sekali bagaimana pada awalnya ada usul menggantung Ahli Parlimen Pekan (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak selama tiga bulan kerana menghina majlis mesyuarat, namun kini ia sudah ‘ditukar’.
Ia ditukar ketika Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Viu Keong, mengusulkan Dewan Rakyat merujuk Najib ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bagi kesalahan memuat naik dokumen berstatus ‘embargo’.
Menurut Ketua Pembangkang merangkap Ahli Parlimen Bera (BN), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pihaknya ‘hairan’ bagaimana semalam mereka menerima usul menggantung Najib selama 3 bulan tetapi hari ini ia ditukar.
“Saya hairan bagaimana semalam kita terima usul gantung Pekan untuk 3 bulan, hari ini dipinda dan mahu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen?
“Ini seolah-olah terburu-buru dan seperti ada agenda tersembunyi sahaja terhadap Yang berhormat Pekan (Najib).
“Laman sesawang Parlimen yang rasmi sudah mengeluarkan dokumen yang dikatakan ‘embargo’ itu pada 9 April sebelum Pekan memuat naik dalam laman sosial Facebook beliau.
“Jadi makanya, tindakan itu bercakap tentang kertas putih yang sudah dikeluarkan terlebih dahulu sebelum itu tidak boleh dianggap embargo.
“Pekan juga tidak hadir ke Parlimen sejak Isnin kerana berada di mahkamah. Sesiapa yang telah memuat naik dokumen kertas putih sebelum Pekan itu yang perlu diambil tindakan dan bukan sebaliknya,” katanya ketika membahaskan usul tersebut.
Najib didakwa melanggar embargo dokumen Kertas Putih Ke Arah Kelestarian Felda dengan memuat naik sebahagian daripada kandungan itu di halaman Facebooknya.
Menurut Peraturan Mesyuarat 95A, mana-mana pihak yang mendedahkan keseluruhan atau sebahagian dokumen mesyuarat Dewan Rakyat berstatus embargo, adalah melakukan perbuatan menghina Dewan Rakyat.
Seksyen 9 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 pula memperuntukkan mana-mana pihak yang didapati bersalah menghina Dewan Rakyat, boleh didenda tidak lebih RM1,000. –MalaysiaGazette