KUALA LUMPUR – Jika dulu menghasut rata-rata masyarakat India di negara ini kononnya dengan kehadiran pendakwah Islam terkenal, Dr. Zakir Naik mampu menggangu gugat keharmonian kaum di negara ini.
Zakir Naik tidak berapa digemari khasnya kaum lain kerana dakwah-dakwah beliau yang didakwa seringkali merendahkan agama lain secara terbuka.
Pendekatan Zakir Naik itu didakwa tidak sensitif dengan kepelbagaian kaum serta etnik lain di negara ini.
Malah, rata-rata pimpinan India Pakatan Harapan (PH) pernah menyalahkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kononnya memberi perlindungan kepada pendakwah itu.
Namun seperti dijangka, selepas menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kehadiran Zakir Naik sudah tidak menjadi masalah.
Sebaliknya, Zakir Naik diberikan peluang untuk terus tinggal di negara ini, tidak ada juga sebarang bantahan daripada pimpinan PH yang dahulunya kecoh.
Terbaharu, kehadiran Zakir Naik di Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai penceramah sekali lagi mengundang rasa tidak senang, bukan sahaja dalam kalangan masyarakat India sebaliknya Cina juga.
Namun demikian, jawapan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, terpulang kepada pihak universiti kerana itu kuasa autonomi adalah sesuatu yang mengecewakan, apatah lagi menghalalkan apa yang sebelum ini ‘haram’ sebelum kemenangan besar PH.
Exco Barisan Nasional Youth Volunteers (BNYV), Mathis Sarawanan, berkata, beliau bukan sahaja kecewa tetapi juga terkilan dengan keadaan ini.
Beliau seperti tidak percaya bagaimana pemimpin India yang kini sudah bergelar menteri ‘mencuci tangan’ begitu sahaja.
Jelas Mathis, Zakir Naik melalui ceramah-ceramahnya sebelum dan selepas kemenangan PH, banyak mengguris perasaan.
Namun kata Mathis, Zakir Naik masih bebas berbuat apa sahaja kerana kerajaan terdahulu bukan lagi pentadbir.
“Saya ingat lagi bagaimana pemimpin seperti Kulasegaran, Waytha Moorthy dan Ramasamy bercakap tentang Zakir Naik.
“Saya tidak lupa. Kami tidak lupa bagaimana kamu membakar perasaan serta kemarahan masyarakat India untuk mendapatkan undi.
“Lelaki yang kamu beri gambaran segala macam itu masih lagi duduk di negara ini, malah bebas bergerak melakukan ceramah sama seperti dulu. Persoalan saya mudah, apakah sebenarnya pendirian PH dalam isu Zakir Naik?
“Mengapa dulu kehadiran penceramah ini mampu menggangu gugat keharmonian tetapi selepas kuasa di tangan kamu, kamu masih lagi memberikan kebebasan untuk terus tinggal di sini? Ini bukan kehendak rakyat secara keseluruhan.
“Dulu kamu (Kulasegaran) yang kini Menteri Sumber Manusia juga yang bertanyakan kepada BN dan UMNO mengapa masih simpan Zakir Naik dan kami tanya pula sekarang, mengapa masih simpan Zakir Naik?
“Bagaimana pula dengan Timbalan Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy yang pernah mendakwa Zakir Naik ini adalah liabiliti? Apa sudah jadi? Cakaplah, kata jaguh untuk rakyat.
“Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy pernah fail tututan kononnya beliau satu ancaman kepada negara, anda kini adalah Menteri Perpaduan dan Integrasi Nasional, apa sudah jadi dengan tuntutan itu? Adakah kini Zakir Naik itu bukan ancaman?
“Memalukan betul, dulu haram kini halal. Dulu tidak betul, gugat keharmonian dan tidak hormat kaum dan perasaan budaya, etnik lain. Kini, soal kita balik apa salahnya selagi dia tidak berbuat apa-apa, semuanya ‘OK’. Sudahlah, terus perbodohkan rakyat.
“Jika benar Zakir Naik ini hebat biarkanlah sahaja sebelum ini, mengapa jadikan ianya satu modal politik untuk timbulkan rasa benci kepada kerajaan terdahulu? Ini benar-benar satu penderhakaan kepada kami secara keseluruhan demi kuasa politik, apa sahaja boleh,” katanya.
Mathis berkata demikian kepada MalaysiaGazette ketika mengulas tentang jemputan UUM kepada Zakir Naik untuk bercakap tentang peranan umat Islam sebagai golongan profesional pada 18 April depan.
Jawapan bersahaja Nie Ching itu juga mendapat kritikan daripada Naib Presiden MCA merangkap Ahli Dewan Negara, Datuk Seri Ti Lian Ker.
Bulan lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa yang mengadakan pertemuan dengan Zakir Naik berkata, usaha dakwah beliau sebenarnya satu sumber inspirasi.
Namun demikian, beberapa bulan sebelum itu, Mujahid lantang mengkritik gaya dakwah Zakir Naik tidak sesuai untuk Malaysia dan membayangkan kaedah memperlekehkan agama lain sebagai tidak wajar.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah memaklumkan bahawa Putrajaya tidak akan mengusir Zakir Naik, yang merupakan pemastautin tetap Malaysia walaupun sudah mendapat permohonan ekstradisi dari India.
Times of India sebelum ini melaporkan Agensi Penyiasatan Kebangsaan India (NIA) menyerahkan laporan siasatan terperinci terhadap dakwaan aktiviti pengganas Zakir Naik kepada Kementerian Dalam Negeri India dan memohon kebenaran untuk mendakwa Zakir yang melarikan diri dari India.
Pihak berkuasa India juga sedang menyiasat pendakwah tersebut atas tuduhan pengubahan wang haram dan membuat ucapan kebencian dalam hampir setiap ceramahnya yang kemudian mengundang rasa kucar kacir. –MalaysiaGazette