PRK RANTAU – Ada terdapat peningkatan sokongan pengundi terhadap calon Pakatan Harapan (PH) menjelang hari mengundi esok di PRK Rantau walaupun pada peringkat awal digelar sebagai underdog.
Pengarah PRK PH Negeri Sembilan, Datuk Aminuddin Harun memberitahu, pada penghujung kempen selama 14 hari ini, beliau juga melihat peningkatan penyokong pelbagai kaum dari hari ke hari.
“Tetapi alhamdulillah, penghujung (kempen) ini, kita ada peningkatan hari ke hari dan penghargaan kepada jentera bertungkus lumus kempen rumah ke rumah dan ceramah berkelompok memujuk pengundi.
“Saya juga bersyukur tidak ada apa apa perkara tidak diingini berlaku sepanjang kempen, saya terima laporan polis bahawa tidak ada masalah besar kali ini,” katanya selepas Program Taklimat Persediaan Jentera Pakatan Harapan PRK Rantau di Eco Park, Kuala Sawah, Rantau di sini hari ini.
Perkembangan itu juga diharapnya berterusan sehingga proses pengundian esok.
Justeru, Menteri Besar Negeri Sembilan itu menegaskan, ia menunjukkan kematangan rakyat tentang pilihan raya dan sikap saling hormat menghormati sepanjang proses berkempen sejak 30 Mac lalu.
Malah hari ini katanya, persiapan jentera telah dibuat untuk kali terakhir dengan cukup bersemangat dan ramai sukarelawan parti yang akan berperanan sebagai ejen pusat mengundi dan mengira undi.
“Mereka akan memastikan pengundi keluar mengundi dan pastikan PRK ini kita dapat mengeluarkan seramai mungkin pengundi yang kita kenal pasti,” katanya.
Selain itu, Ahli Dewan Undangan Sikamat itu juga menegaskan kalau ia dapat dilakukan, pihaknya akan menerima keputusan dengan ‘menggembirakan’.
Ditanya peluang untuk ‘mengejutkan’ calon BN yang menyandang kerusi itu selama tiga penggal, Aminuddin yakin ia boleh berlaku berdasarkan prestasi kempen yang meningkat.
“Ini telah membuktikan berlaku banyak kelemahan di sini dan ia memberi kelebihan kepada PH untuk mendapat undi yang baik kali ini.
“Bukan sahaja itu, bagi saya semua pengundi tak kira India, Cina Melayu perlu bagi saya. Tok Mad kata, dia nak undi Melayu dan India. Itu terpulang kepada dia, saya nak ketiga-tiga yang sangat diharapkan.
“Kita tahu ada undi satu peratus lain lain bangsa pun saya nak. kalau dia (Tok Mad ) tak nak, bagilah dekat saya,” tegasnya. – MalaysiaGazette