KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membidas usul yang mahu menghadapkan Ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
Jelas beliau, usul yang dikemukakan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong seakan mempunyai agenda peribadi yang tersembunyi.
“Usul yang kita bincangkan hari ini adalah mengenai Embargo, kesalahan dari segi Embargo. Saya hairan, semalam kita menerima usul untuk menggantung Pekan (Najib) selama tiga bulan.
“Tapi tiba-tiba hari ini dipinda pula kepada merujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Yang jelas ianya seolah-olah terburu-buru dan ada agenda tersembunyi terhadap Pekan,” kata Ismail ketika membahaskan usul tersebut.