Semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di negeri ini diminta mengadakan solat hajat bagi mendoakan agar anggota mereka, Wan Mohd Arif Wan Yahya, yang dikhuatiri lemas dan hilang di Sungai Paka dekat Kampung Durian Mentangau, Dungun, Jumaat lepas ditemui.

KUALA LUMPUR –  Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran membabitkan enam pegawai kanannya berkuat kuasa 13 Mei ini.

Dalam satu kenyataan, Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urusetia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad berkata pertukaran membabitkan Ketua Penolong Pengarah (Agama dan Kaunseling) Bahagian Agama dan Kaunseling, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, SAC Sapiai@Shafien Mamat yang bertukar sebagai Ketua Penolong Pengarah (Pematuhan) Bahagian Pematuhan Standard, JIPS, Bukit Aman.

“SAC Institut Keselamatan Awam (IPSOM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) Putrajaya, SAC Datuk Dr Laila Ali pula akan menggantikan Shafien sebagai Ketua Penolong Pengarah (Agama dan Kaunseling) Bahagian Agama dan Kaunseling, JIPS, Bukit Aman yang baharu.

“Pertukaran lain membabitkan ACP Pentadbiran Jabatan Pengurusan Selangor, ACP Nordin Manan yang akan menjadi Timbalan Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Pahang manakala Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Risikan/Operasi Selangor ACP Mohamad Abd Hamid pula akan menggantikan tempat Nordin,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Pahang ACP Zaldino Zaludin akan menjadi Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Risikan/Operasi Selangor yang baharu,” katanya.

Menurut Asmawati, pertukaran terakhir membabitkan Ketua Pegawai Keselamatan Istana/Pengiring Sultan Kelantan, Jabatan Pengurusan Kelantan, Supt Hisham Mahmood yang dilantik menjadi Penolong Ketua Staf Koordinasi Pasukan Khas Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), Jabatan Perdana Menteri. – MalaysiaGazette