V. Sivakumar.

KUALA LUMPUR – Setelah kekalahan ‘hatrik’ dalam Pilihan Raya Kecil (PRK), sokongan masyarakat khususnya kaum India semakin merosot yang menyebabkan pimpinan Pakatan Harapan (PH) diminta ‘bermuasabah’ diri.

Pimpinan PH juga diminta beringat sebelum terkena seandainya sokongan yang pernah diperolehi satu ketika dahulu begitu gah kini semakin merundum.

Malah Timbalan Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar secara terbuka berkata, jangan menyesal bagaikan nasi sudah menjadi bubur kelak hanya kerana harapan menggunung masyarakat India dikecewakan setelah janji-janji ditabur tidak direalisasikan.

Kenyataan beliau yang dikeluarkan susulan kemerosotan sokongan serta undi masyarakat India yang ketara pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands diikuti Semenyih dan Rantau yang ternyata membimbangkan.

“Pendirian khasnya masyarakat India terus menjadi tanda tanya sejak kebelakangan ini lagi-lagi kekalahan dalam tiga PRK lepas.

“Adakah kaum India masih lagi menyokong dan setia pada pimpinan PH pada saat ini? Walaupun majoriti mereka ini masih lagi menyokong PH tetapi ingat, ada juga dalam kalangan mereka sudah mengubah pendirian mereka.

“Masyarakat India mempunyai harapan yang tinggi terhadap kerajaan PH pada hari ini. Mereka sangat mengharapkan peluang dalam sektor awam, perniagaan, pendidikan, pembinaan, pertanian dan banyak lagi.

“Selepas hampir 10 bulan memerintah, mereka kecewa apa sahaja yang diharapkan tidak sampai juga. Janji dalam manifesto PH perlu ditunaikan, itu yang mereka hendak sebenarnya.

“Isyarat yang ditonjolkan oleh mereka sangat jelas dalam PRK Rantau. Selagi ini tidak dipandang secara serius, sokongan yang ada akan terus terhakis. Janganlah sampai nasi jadi bubur,” katanya hari ini.

Sivakumar yang juga Timbalan Pengerusi DAP Perak dan Setiausaha PH Perak juga memberikan contoh bagaimana rata-rata sokongan masyarakat India beralih arah kepada PH daripada BN khasnya MIC sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

“Lebih 80 peratus masyarakat India telah mengundi kita pada PRU yang lepas. Ini sebenarnya adalah satu pencapaian terbaik dalam pungutan undi kaum India oleh pembangkang yang kini kerajaan pemerintah.

“Rata-rata masyarakat India sebelum ini sangat setia dalam menyokong kerajaan terdahulu namun sentimen serta kesetiaan itu berubah apabila mereka terabai dalam arus pembangunan ekonomi oleh kerajaan sebelum ini.

“Kaum India telah ambil iktibar untuk memberi ‘pengajaran’ kepada BN yang zalim. MIC yang menjadi ‘pak turut’ akhirnya telah kehilangan kepercayaan kaum India secara keseluruhan, sejak 2008 sokongan mereka kepada kerajaan dulu semakin merosot dan ianya dapat diterjemahkan pada PRU-14 apabila kesemua mereka bersatu hati menolak BN, MIC,” tegasnya.

Sejurus selepas kalah calon Rantau PH, Dr. S.Streram dalam nada terkejut tidak menyangka keputusan begitu ‘teruk’ diterima dengan hanya mendapat 5,887 undi berbanding lawannya, calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang memperoleh 10,397 undi.

Streram mendakwa dirinya tidak percaya dengan sokongan masyarakat Cina dan India yang begitu rendah keluar mengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri tersebut untuk PRK kali ini.

Malah Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun sendiri terkejut dengan sokongan ‘rendah’ yang diterima daripada masyarakat India.

Bagaimanapun, menurut Ahli Majlis Jawatankuasa Kerja Pusat MIC, RT Raja kepada MalaysiaGazette sebentar tadi, beliau tidak terkejut dan meminta keseluruhan pimpinan khasnya pemimpin India PH ‘celik’ dan sedar diri selepas ini.

Kata Raja, tidak ada apa-apa yang menghairankan kerana memang terang lagi bersuluh ramai dalam kalangan rakyat yang menyokong ‘bermati-matian’ kerajaan PH sebenarnya semakin bosan dan muak.

Bukan sahaja hampir tidak ada apa-apa yang dibuat selain daripada hanya bersandarkan inisiatif serta kebaikan kerajaan terdahulu kepada masyarakat India, pimpinan India walaupun mempunyai Menteri, Timbalan, barisan exco mewakili mereka juga dilihat tidak memainkan peranan. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/13/saya-ingat-pengundi-india-akan-pilih-streram-kata-mb-negeri-sembilan/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/15/streram-kalah-kerana-anwar/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast