KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mensasarkan kutipan pendapatan lebih RM4.3 bilion untuk tahun ini.
Ketua Pengarahnya Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, jumlah itu adalah berdasarkan pencapaian tahun lalu yang berjaya mencapai sasaran iaitu lebih RM4 bilion.
“Sebab tahun lalu kita capai RM4 bilion jadi, RM4.3 bilion ke atas JPJ sasarkan tahun ini kutipannya,” katanya ketika sidang media.
Menjadi agensi keempat yang mengutip hasil terbesar dalam negara, selain Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) dan Jabatan Imigresen Malaysia, justeru JPJ perlu meneruskan prestasi dengan penuh intergriti dan bebas daripada aktiviti rasuah, katanya, yang mana unsur-unsur tersebut boleh memberi gambaran negatif kepada kerajaan.
“Kalau berlakunya korupsi menggambarkan ada ketirisan hasil kerajaan, jadi saya tidak boleh kompromi, kita kena teruskan kerja dengan penuh amanah, pastikan lunas undang-undang dan intergriti ditegakkan,” katanya ketika sidang media khas di Putrajaya sebentar tadi.
Bertepatan dengan sambutan Hari JPJ Ke-73, beliau berkata, agensi itu perlu meneruskan tugas sesuai dengan tema ‘Digitalisasi Ke Arah Intergiti’ melalui pengurangan hubungan manusia dalam urusan. -MalaysiaGazette