AMPANG – Permainan kereta kawalan jauh sememangnya memerlukan perbelanjaan yang agak tinggi kerana harga bagi sebuah kereta tersebut boleh mencecah sehingga ribuan ringgit.
Bagi Lee Chee Yean, 43, memiliki kenderaan kecil itu bukan sekadar hobi untuk mengisi masa lapang bersama anak lelakinya, Lee Yuan Jun, 7, malah secara tidak langsung merapatkan lagi hubungan mereka.
“Bermain permainan kereta kawalan jauh ini sudah menjadi aktiviti hujung minggu saya bersama anak. Saya mahu dia meneroka dunia luar sambil bergaul dengan lebih ramai orang berbanding menghabiskan masa dengan telefon pintar,” katanya ketika ditemui di Laman Rekreasi Tasek Tambahan Ampang.
Tambah Chee Yean, dia membelanjakan hampir RM3,000 untuk membeli dua buah kereta kawalan jauh termasuk beberapa peralatan ganti yang lain.
Katanya lagi, setelah hampir enam bulan bermain permainan tersebut, dia juga semakin memahiri teknik-teknik pengendalian serta pengubahsuaian kereta kawalan jauh itu.