Ahli Tertinggi MIC, Datuk P.Kamalanathan bercakap pada sidang media mengenai isu tawaran matrikulasi pelajar India di Ibu Pejabat MIC, Menara Manicavasagam, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 20 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Pendidikan Malaysia (KPM), Dr. Maszlee Malik berhubung tawaran 2,200 tempat kepada pelajar India ke matrikulasi dianggap tidak jujur.

Bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan berkata, jelas lagi bersuluh kenyataan itu menunjukan pendirian kerajaan Pakatan Harapan (PH) bahawa mereka tidak ‘bersedia’ memberikan semula tawaran itu yang ditetapkan semasa Barisan Nasional (BN) memerintah.

Menurutnya, kenyataan Maszlee kononnya tawaran 2, 200 kepada pelajar India untuk mengikuti program matrikulasi hanya sekadar one off oleh kerajaan BN adalah satu ‘penipuan siang hari’.

“Saya tidak mahu salahkan warga KPM sebenarnya, mungkin mereka keluarkan fakta sedemikian atas ‘desakan’ segelintir pihak. Saya pernah bekerja dengan KPM malah juga terlibat dalam transformasi pendidikan untuk pelajar India sepanjang berkhidmat sebagai timbalan menteri. Jangan temberang, saya tahu fakta.

“Tidak pernah wujud tawaran one off dari kami malah kami juga berniat untuk menambah bilangan itu sehingga mencecah angka 3,000 pada masa akan datang, jadi bagaimana pula dari angka sejak tahun 2012?  Daripada 1,500 itu kami tambah kepada 700 lagi boleh jadi one off?

“Sebenarnya, soalan saya mudah dan saya pasti ini juga persoalan yang sedang bermain dalam benak masing-masing, adakah sebenarnya kerajaan PH ini mahu berikan tawaran kerusi 2,200 kepada pelajar India?

“Kedua, mengapa kenyataan semalam tidak langsung menyebut apa-apa tentang apakah sebenarnya jumlah yang diberikan kepada pelajar India bagi pengambilan tahun ini? Mengapa tidak beri maklumat itu?

“Fakta pada perenggan keempat yang di sebut Maszlee semalam kononnya tawaran kepada pelajar India dan Cina untuk matrikulasi hanya berdasarkan kekosongan kuota bumiputera yang tidak diisi juga tidak betul serta tidak berasas.

“Hakikatnya, pengambilan matrikulasi boleh sehingga maksimum 28,000 tetapi sehingga kini tidak sehingga itu sebaliknya dalam 25,000 tawaran di mana kita mendapat 10 peratus. Daripada 10 peratus itu adalah 2,200 itu. Kenapa cuba kelirukan umum dengan beri fakta dan angka seperti ini?

“Benar matrikulasi sebenarnya untuk pelajar bumiputera tetapi dasar kerajaan dahulu telah membuka peluang kepada kaum lain di negara termasuk Sabah dan Sarawak. Maszlee, fahami dulu dan jangan main ‘bedal’ sahaja.

“Sebenarnya apa niat kamu, adakah tidak mahu beri kami hak 2,200 itu?

“Statistik ada menunjukan seramai lebih 6,000 pelajar dalam kalangan India telah memohon pada tahun 2017 dan kerana itu kita bagi tawaran tambahan yang ketika itu di cadangkan oleh bekas Presiden MIC, Datuk Seri Dr. Subramaniam dan di persetujui dengan senang hati oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Jadi bagaimana wujud one off dalam cerita ini? Kita jangka permohonan tahun ini juga lebih 6,000 jadi bagaimana pula hendak kurangkan? Jangan cuba kelirukan umum, pusing fakta atau kata ‘one off’,” katanya yang juga Ahli Majlis Tertinggi MIC dalam sidang media hari ini.

Semalam, Maszlee dalam kenyataan mendakwa, tawaran 2,200 dan 1,000 tempat kepada pelajar berketurunan India dan Cina dalam program matrikulasi adalah inisiatif  one-off bagi tahun 2018.

Malah jelas Maszlee, dasar pengambilan program matrikulasi masih mengekalkan 90 peratus tempat kepada bumiputera dan 10 peratus tempat kepada bukan bumiputera berdasarkan meritokrasi.

Bagaimanapun, kenyataan tersebut mendapat kritikan dan sindiran Najib yang menafikan kerajaan terdahulu yang diterajuinya hanya memberikan tawaran itu sekadar one off seperti yang didakwa Maszlee.

Tambah Kamalanathan lagi, beliau ‘sanggup’ duduk semeja dengan warga KPM untuk menyelesaikan perkara itu bagi memastikan tidak ada pelajar yang layak itu terabai atau teraniaya.

“Saya bersama yang lain-lain boleh duduk dengan anda, bekerja dengan anda cari jalan penyelesaian bagi perkara ini, tolonglah, jangan kerana politik dendam anda korbankan masa depan anak-anak ini apatah lagi yang benar-benar memerlukan. Tolonglah,” ujarnya. –MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/19/jangan-main-tabur-perkataan-one-off-maszlee-nanti-ph-pun-one-off-najib/

https://malaysiagazette.com/blog/2019/04/15/apa-nasib-pelajar-cemerlang-india-tak-dapat-matrikulasi/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast