KUALA LUMPUR – Tindakan Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menjadikan Barisan Nasional (BN) sebagai ‘kambing hitam’ berikutan kegagalan kerajaan menawarkan pelajar India dalam Program Matrikulasi pada tahun ini sangat memalukan.
Malah, alasan Maszlee kononnya penawaran 2,200 tempat kepada kaum India pada pengambilan tahun 2018 oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah bersifat one-off berdasarkan keperluan semasa dan melibatkan kekosongan kuota bumiputera yang tidak diisi juga tidak betul.
Bekas menteri pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, BN komited membantu kaum India dalam segala bidang, justeru 1,500 tempat ditawarkan untuk Program Matrikulasi KPM kepada kaum India secara tetap bermula daripada pengambilan tahun 2012.
Komitmen itu dipertingkatkan pada 23 April 2017 apabila Perdana Menteri sebelum ini, Datuk Seri Najib Razak melancarkan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia sebagai satu dokumen rasmi kerajaan untuk pembangunan komuniti India untuk tempoh 10 tahun akan datang.
Antara komponen penting Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia adalah janji BN untuk melakukan intervensi-intervensi tertentu bagi meningkatkan enrolmen pelajar-pelajar India di universiti awam, kolej dan politeknik sekurang-kurangnya tujuh peratus
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, pada 24 Mac 2018, Najib mengumumkan kerajaan sedang mengkaji langkah untuk menambah bilangan pelajar kaum India di kolej matrikulasi dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), termasuk mengkaji tambah bidang atau tempat matrikulasi.
“Ini diikuti dengan pengumuman pada 7 April 2018 bahawa Kementerian Pendidikan di bawah pimpinan saya bersetuju menambah 700 lagi pelajar India ke kolej matrikulasi bermula sesi pengajian tahun itu menjadikan keseluruhan 2,200 pelajar.
“Pengumuman penambahan 700 lagi pelajar India ke kolej matrikulasi bermula sesi pengajian tahun itu adalah bukti jika BN masih menjadi kerajaan bilangan keseluruhan 2,200 pelajar akan dikekalkan pada tahun seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Artikel berkaitan: MIC nafi kuota 2, 200 pelajar India hanya one off
Jangan main tabur perkataan ‘one off’ Maszlee, nanti PH pun ‘one off’ – Najib
Tambah beliau, tidak hairanlah jika pengundi India di Rantau kembali menyokong BN dalam Pilihan Raya Kecil Rantau baru-baru ini kerana Kerajaan Pakatan Harapan gagal menjaga kepentingan mereka.
Semalam, dalam satu kenyataan, Maszlee berkata,
Kementerian Pendidikan hari ini berkata tawaran 2,200 dan 1,000 tempat kepada pelajar India dan Cina dalam program matrikulasi adalah inisiatif ‘one-off’ bagi 2018.
Menurut nya, dasar pengambilan program matrikulasi masih mengekalkan 90 peratus tempat kepada Bumiputera dan 10 peratus tempat kepada bukan Bumiputera berdasarkan meritokrasi. – MalaysiaGazette