KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) diingatkan bahawa kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu disebabkan janji-janji dan harapan menggunung tentang transformasi dan dasar lebih baik berbanding yang ditawarkan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN).
Antara janji yang menyebabkan kaum Cina dan India memberikan sokongan tanpa berbelah bahagi kepada kepimpinan PH termasuk memberikan keistimewaan pendidikan kepada semua.
Tetapi, Naib Presiden Persatuan Alumni India Universiti Malaya (PANI UM), Dr Mahaaganapathy Dass sangat kecewa dengan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan kini oleh PH khususnya Kementerian Pendidikan berhubung kemasukan ke Program Matrikulasi.
Mahaaganpathy berkata, beliau tidak mempersoalkan tentang keistimewaan serta hak-hak Bumiputera mahupun apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan, sebaliknya apa yang dituntut adalah janji-janji yang ditaburkan oleh para pemimpin PH sebelum menang besar dalam pilihan raya lalu.
Jelas beliau, PH berjanji untuk memberi peluang pendidikan jauh lebih baik daripada kerajaan BN namun tindak-tanduk kerajaan pada hari ini tidak memberi gambaran apa yang dijanjikan.
“Kami sebenarnya bukan berniat mahu melakukan sebarang provokasi atau kontroversi dengan isu ini tetapi hanya menuntut janji dan komitmen yang diberikan kepada kami. Itu adalah harapan tinggi menggunung buat kami.
“Malah semangat Malaysia Baharu perlu dikekalkan dengan melakukan apa yang betul, isu ini sebenarnya perlu diteliti dengan serius dan tindakan susulan perlu dilakukan. Anda yang berjanji akan memberikan pendidikan sama rata kepada semua, kini lain pula.
“Saya kecewa dan terkilan dengan respons yang diberikan dalam isu tawaran tempat matrikulasi berdasarkan kaum. Pendidikan sepatutnya diberikan sama rata apatah lagi apabila anda mempunyai pelajar-pelajar cemerlang.
“Seandainya kerajaan terus memainkan isu perkauman dalam tawaran para pelajar cemerlang, termasuk pelajar yang tidak berkemampuan berdasarkan kaum dan latar belakang, kita sebenarnya akan terus mundur.
“Berilah peluang kepada mereka ini untuk melanjutkan pelajaran di institusi awam daripada membiarkan yang cemerlang, berbakat dan berkebolehan itu meninggalkan negara dan mencari peluang di negara lain. Ini akan merugikan kita pada masa hadapan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Mahaaganapathy berkata, adalah tidak adil apabila isu perkauman pelajar-pelajar berkelayakan ini dijadikan alasan mengapa tawaran mereka ditolak dan memaksa ibu bapa yang tidak mampu terpaksa membanting tulang mencari wang bagi memastikan anak-anak mereka belajar di luar negara kerana tiada peluang di sini.
“Jangan buat begini dengan memberi tekanan kepada para pelajar yang sudah bertungkus-lumus siang malam bagi mendapatkan keputusan cemerlang namun kerajaan pula menidakkan kelayakan mereka,” katanya.
Mahaaganapathy mengulas kenyataan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyokong pengekalan dasar penawaran 90 peratus tempat pelajar Bumiputera dan 10 peratus kepada bukan Bumiputera dalam Program Matrikulasi.
Pengekalan dasar itu selaras dengan matlamat asal program itu untuk membangunkan potensi pelajar Bumiputera dalam bidang sains, teknologi dan profesional melalui pendidikan prauniversiti yang berkualiti.
Mahaaganapathy meminta kerajaan PH tidak menggadaikan sama depan para pelajar cemerlang ini dengan polisi dan dasar yang menyulitkan mereka.
“Apa yang anda janji, anda dikotakan. Jangan kata kami meminta ‘lebih-lebih’. Anda yang beri harapan sebenarnya,” tegasnya. – MalaysiaGazette