SINGAPURA – Malaysia komited memastikan projek Rangkaian Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura diteruskan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
“Kami sedang merumuskan perjanjian tambahan bagi enam bulan dan sedang mencari opsyen lain tentang bagaimana untuk mengurangkan kos,” kata Loke pada sidang media bersama dengan Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan selepas majlis sambutan pendaratan penerbangan sulung Firefly di Lapangan Terbang Seletar di sini, hari ini.
Kerajaan Malaysia pada awal bulan ini memohon pelanjutan enam bulan sehingga September daripada Singapura untuk membuat keputusan mengenai projek Rangkaian RTS.
Perjanjian dua hala mengenai Rangkaian RTS ditandatangani pada Januari 2018 semasa pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini.
Projek itu pada awalnya dijadualkan dibina tahun ini dan dijangka siap pada Disember 2024.
Ia bertujuan untuk menangani kesesakan trafik harian antara kedua-dua negara.
Projek Rangkaian RTS akan meliputi laluan rel sepanjang 4km menghubungkan Bukit Chagar, Johor Baru dan Woodlands, Singapura, dengan kapasiti membawa 10,000 penumpang sejam.
Sementara itu, Khaw berkata, perjanjian dua hala itu tidak menyediakan peruntukan bagi penangguhan iaitu tidak sepertimana projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura.
“Bagaimanapun, atas semangat hubungan dua hala, kami boleh lakukan beberapa pindaan,” katanya dan menurutnya, “langkah segera yang pertama ialah menyelesaikan, memuktamadkan dan menandatangani perjanjian tambahan yang boleh dilakukan dalam waktu terdekat.”
Berhubung perkembangan mengenai jawatankuasa peringkat tinggi yang ditubuhkan untuk menyemak perjanjian ruang udara sedia ada yang dikendalikan pengawal trafik udara Singapura di selatan Johor, Khaw berkata: “Mereka dalam proses perbincangan.”
“Langkah pertama adalah untuk menyelesaikan rujukan terma. Nasihat saya kepada mereka adalah jangan habiskan terlalu banyak masa berhujah tentang rujukan terma… pastikan prosesnya berjalan lancar,” katanya,
Jawatankuasa itu dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia dan Setiausaha Tetap Pengangkutan Singapura.
“Dengan iltizam yang betul.. menang menang… kami akan sentiasa dapat mencari alasan baik bersama-sama dan mencapai penyelesaian menang-menang ..ini saya amat yakin,” kata Khaw.
Kerajaan Malaysia bercadang mengambil alih semula kawalan ruang udara di selatan Johor. – MalaysiaGazette