KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan bercadang untuk mewujudkan sebuah pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) ketenteraan sendiri untuk menghasilkan produk ketenteraan dan komersial sebagai membantu pemain industri pertahanan negara.
Ia bukan untuk mengaut keuntungan tetapi lebih kearah menimba ilmu, kemahiran dan kemampuan tanpa bergantung sepenuhnya daripada hasil R&D syarikat swasta.
Setiausaha Bahagian, Bahagian Industri Pertahanan kementerian itu, Wan Mohd. Asraf Wan Salleh berkata, pusat penyelidikan dan pembangunan itu akan diwujudkan dengan menggunakan fasiliti sedia ada dalam kementerian.
Katanya, cadangan itu masih peringkat awal dan idea itu tercetus daripada cabaran yang dihadapi negara sekarang.
“Kebanyakan syarikat memang buat R&D tetapi kekangan peruntukan kewangan serta apa yang berlaku produk sudah dibangunkan tetapi dan apabila kerajaan tidak boleh memberi jaminan untuk membeli maka mereka rugi.
“Kalau kerajaan menghasilkan dengan R&D sendiri diletakkan di bawah kementerian Pertahanan, jadi kita akan mendapat pengetahuan, ilmu dan kemahiran.
“Apabila produk hasil R&D kerajaan sendiri siap untuk dipasarkan, kita akan serahkan kepada pemain industri pertahanan atau sesebuah syarikat itu sekaligus membantu mengurangkan kos R&D dan mereka juga boleh fokus untuk menjual dan mengaut keuntungan” katanya selepas sesi dialgod kertas putih pertahanan di Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Tentera Sungai Besi di sini hari ini.
Sesi dialog itu dirasmikan Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong.
Dalam masa yang sama, Wan Mohd. Asraf berkata, pihaknya perlu memastikan pusat R&D itu memainkan fungsi pelbagai bukan hanya untuk pertahanan sahaja tetapi melibatkan komersial.
“Setakat ini projek perintis pembangunan R&D itu bermula benda secara kecil-kecilan sahaja seperti saya jelaskan tadi.
“Biar kami bangunkan R&D dan dia (pemain industri pertahanan) boleh jual untuk mengaut keuntungan sebab kerajaan tidak rugi apa apa, tak jual senjata tidak mengapa asalkan kita boleh menimba ilmu dan kemahiran.
“Pusat R&D itu akan diusahakan dengan kerjasama erat agensi sedia ada iaitu Kementerian Pertahanan STRIDE dan UPNM selain industri pertahanan dan pengguna,” ujarnya lagi.
Beliau dalam sesi sama mengakui Sapura selaku salah satu syarikat yang memiliki R&D terbaik hampir empat dekad dan produknya radio taktikal kombat.
“Sebenarnya kerajaan tidak mahu buat produk tentera yang dia sudah hasilkan sebaliknya mahu hasilkan benda yang belum dihasilkan sesiapa dengan R&D sendiri,” katanya lagi.
Ditanya sejauh mana perbincangan mengenai penubuhan pusat R&D tersebut, katanya, ia masih di peringkat perbincangan awal lagi.
Beliua juga mendesak pemain industri pertahanan memberi kerjasama yang baik kepada kementerian untuk membolehkan segala usaha ke arah pembangunan pertahanan memanfaatkan negara.
“Saya juga mahu pemain industri pertahanan berterus terang mengenai masalah yang dihadapi mereka dan tanpa kerjasama mereka kita akan lari daripada matlamat asal,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette