KUALA LUMPUR – Dagangan harian proprietari (PDT) dan jualan singkat intra hari (IDSS) telah digantung untuk saham-saham Ekovest Bhd and Iskandar Waterfront City Bhd (IWCity) untuk sepanjang hari ini selepas kedua-dua entiti itu menafikan terlibat dalam projek Bandar Malaysia.
Saham-saham syarikat itu jatuh 15 peratus selepas didagangkan sejam pertama selepas bursa dibuka.
Aktiviti PDT dan IDSS hanya akan dibolehkan pada pukul 8.30 pagi esok, kata Bursa Malaysia dalam pengumumannya di sini.
Saham Ekovest dan IWCity dibuka rendah pagi tadi dan terus merosot hingga menjadi saham paling rugi.
Saham Ekovest susut sebanyak 18 sen kepada 79 sen pagi ini. Harga akhir didagangkan pada 84.5 sen sebelum ia digantung dengan 131.65 juta saham diniagakan.
Manakala saham IWCity pula susut 23 sen kepada RM1.09 sen dan harga akhir sebelum digantung adalah RM1.15 sesaham.
Semalam, Iskandar Waterfront City Bhd serta IWCity dan Ekovest Bhd, dua firma yang dikuasai oleh Tan Sri Lim Kang Hoo menjelaskan bahawa mereka tidak terlibat dalam projek Bandar Malaysia.
“Siaran akhbar yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 19 April yang bertajuk” Kerajaan Projek Bandar Malaysia “, di mana nama syarikat sekutu kami, IWH-CREC Sdn Bhd telah disebutkan, syarikat itu ingin menjelaskan bahawa IWCity tidak terlibat dalam pemulihan projek Bandar Malaysia, “kata IWCity.
Perdana Menteri baru-baru ini berkata, kerajaan akan meneruskan semula projek Bandar Malaysia dengan anggaran nilai pembangunan kasar RM140 bilion.
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan semasa mesyuarat Kabinet pada 17 April dan IWH-CREC Sdn Bhd, konsortium Malaysia-China, pemaju induk bagi projek itu akan meneruskan kerja-kerja di Bandar Malaysia.
Dr Mahathir berkata, Bandar Malaysia akan memberi kesan besar kepada ekonomi Malaysia dan berfungsi sebagai hab global bagi menarik lebih banyak firma kewangan, teknologi dan keusahawan global yang mempunyai impak tinggi. – MalaysiaGazette