SHAH ALAM – Gangguan air selama tiga hari di Lembah Klang hanyalah jangkaan senario paling teruk kerana bekalan itu diyakini mampu disambung semula dalam tempoh 48 jam, kata Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.
Ini kerana katanya, tempoh masa tiga hari atau 86 jam untuk penyambungan semula bekalan air itu hanya melibatkan kawasan yang terletak jauh dari Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2).
“Lokasi yang paling jauh dari LRA SSP2 adalah di Kuala Langat. Jadi, walaupun hari kedua bekalan air (mula) disambung semula namun ia mungkin memerlukan masa sekitar 76 jam hingga 78 jam untuk sampai kepada pengguna di Kuala Langat.
“Sebab itu kita letak tiga hari sebagai tempoh paling lambat. Kalau semua berjalan dengan lancar, rumah-rumah yang terakhir akan terima semula sambungan air adalah pada hari ketiga,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Ekonomi Negeri Selangor dan Majlis ‘Kick-Off’ Banci Perdagangan Borong dan Runcit 2019 di sini, hari ini.
Tambah Amirudin, gangguan air kali ini merupakan gangguan berjadual dan ia dibuat dengan perancangan yang teliti demi menyelenggara kemudahan sedia ada.
Bermula hari ini sehingga 27 April (Sabtu), sebanyak 577 kawasan di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air sementara disebabkan kerja-kerja penambahbaikan sistem bekalan air di LRA SSP2.
Gangguan air itu melibatkan wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Kuala Langat dan Kuala Selangor serta melibatkan 620,835 pemilik akaun Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas).
Dalam pada itu, ditanya mengenai perkembangan status tarif air baharu Selangor, Amirudin sekali lagi menegaskan pihaknya akan menilai semua faktor sebelum membuat sebarang keputusan yang dijamin tidak membebankan rakyat.
Katanya, pengumuman mengenai kadar baharu itu akan dibuat pada Jun depan.- BERNAMA