Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) di Bangunan Utama Parlimen, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 26 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membincangkan terlebih dahulu langkah pelaksanaan pemberian cuti ehsan selama tiga hari yang berbayar kepada pekerja-pekerja di sektor swasta.

Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berkata, perbincangan mengenai perkara itu akan dilakukan oleh jawatankuasa teknikal yang dilantik membabitkan kesatuan para majikan dan pekerja.

Menurutnya, langkah tersebut diambil menerusi cadangan yang dikemukakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berhubung keperluan pemberian cuti itu.

“Kita baharu sahaja menerima cadangan ini daripada pihak kementerian berkenaan.

“Kita akan melihat dari semua sudut terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) di Parlimen di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kulasegaran berkata, cadangan mengenai pemberian cuti itu juga adalah kepada mereka yang menghadapi kematian ahli keluarga terdekat seperti isteri, anak dan sesiapa yang mempunyai kaitan dan pertalian darah dengan pekerja berkenaan.

Tambah beliau, perkara itu sememangnya sudah dilaksana dalam agensi awam dan pemberian cuti itu kepada pihak swasta pula perlu dilihat dari segi kesesuaiannya juga.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Kulasegaran menegaskan, pekerja-pekerja asing yang baru sahaja tiba di negara ini perlu mengikuti satu ujian sebelum dibenar untuk mengikuti majikan masing-masing.

Katanya, ia sebagai satu langkah bagi mengelak masalah yang dibawa oleh pekerja asing terbabit terutamanya dalam aspek kesihatan hingga boleh membawa penularan wabak penyakit.

“Saya mendapat makluman bahawa sebelum ini ada dalam kalangan pekerja asing yang masuk ke negara ini mengikuti majikan dan kemudian mereka lari

“Sebab itu kita nak pantau perkara ini agar ia tidak berlaku lagi pada masa depan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast