KUALA LUMPUR – Sime Darby Property Berhad akan bekerjasama dengan QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands) membangunkan restoran KFC pandu lalu yang pertama di Bandar Universiti Pagoh (BUP), dalam usaha untuk meningkatkan tawaran nilai perbandaran itu dan memenuhi permintaan populasi pelajar yang berkembang.
Sebagai sebahagian daripada MoU, Sime Darby Property akan membina restoran tersebut dan memasuki perjanjian pajakan jangka panjang bersama QSR Brands.
Ini selaras dengan strategi Sime Darby Property untuk menambah nilai pembangunan-pembangunan yang sedia ada serta meningkatkan pendapatan berulang bagi syarikat.
Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Pembandaran Sime Darby Property, Datuk Wan Hashimi Albakri berkata, tapak yang dicadangkan bagi restoran KFC pandu lalu itu terletak di tanah berkeluasan kira-kira 0.89 ekar di kawasan komersial Sarjana Promenade.
Restoran tersebut dijangka dibuka pada akhir Jun 2020.
“BUP adalah perbandaran yang unik, disokong oleh hab pendidikan bersepadu pertama negara. Kerjasama kami bersama QSR akan meningkatkan nilai perbandaran ini melalui penyediaan rangkaian restoran perkhidmatan pantas yang popular, menyediakan perkhidmatan kepada kira-kira 10,000 pelajar apabila diduduki sepenuhnya,” katanya.
MoU itu ditandatangani oleh Datuk Wan Hashimi Albakri, Ketua Pegawai Operasi Pembangunan Perbandaran Sime Darby Property dan Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil, Pengarah Urusan QSR Brands.
Majlis itu disaksikan oleh Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.
Sementara itu, Presiden & Ketua Eksekutif Johor Corporation merangkap Pengerusi QSR Brands, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim yakin kerjasama itu berpotensi sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi Pagoh, selain penambahan nilai yang ditawarkan kepada pembangunan hab pendidikan itu.
BUP adalah perbandaran 4,099 ekar yang terletak secara strategik di daerah Muar, Johor berhampiran Persimpangan Pagoh, antara Kuala Lumpur dan Singapura.
Perbandaran itu terletak hanya 15 minit dari bandar Pagoh dan kira-kira 30 minit perjalanan ke bandar Muar.
Bandar Universiti Pagoh adalah perbandaran pertama di Malaysia yang disepadukan dengan pusat-pusat pengajian tinggi, yang terdiri daripada empat institusi terkemuka iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Politeknik Tun Syed Nasir.
Kesemua institusi ini berada dalam sebuah “super campus” yang dilengkapi dengan Kemudahan Guna Sama Berpusat di EduHub Pagoh.
Aspirasi EduHub Pagoh adalah untuk menjadi hab pendidikan bertaraf dunia dengan penawaran kediaman yang berkualiti, pilihan kemudahan runcit terbaik dan persekitaran perniagaan yang progresif. – MalaysiaGazette