Amirudin Shari
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari. foto AFFAN FAUZI, 27 APRIL 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor akan terus melakukan pemeriksaan ke atas Pangsapuri Kos Rendah Taman Keramat Permai dan setakat ini masih terdapat kesan keretakan pada struktur bangunan yang masih aktif.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, pihaknya melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) dan perundingnya, Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) akan melakukan pemeriksaan tersebut bagi mengesan keretakan baharu serta punca insiden itu.

“Ikram akan melaporkan penemuan baharu setiap dua jam melalui kerja-kerja pencerapan menggunakan probe juga sensor dan pemeriksaan awal telah menemui sekurang-kurangnya 10 kesan retakan.

“Susulan penemuan tersebut, kerja-kerja pemeriksaan serta kajian selanjutnya dilakukan dan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya selama tiga hari bermula hari ini,” katanya pada satu sidang akhbar selepas melawat kawasan kejadian, di sini, hari ini.

Amirudin Shari
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari melihat keadaan longkang yang dikatakan keretakan yang serius di Flat Pangsapuri Taman Keramat Permai, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 27 APRIL 2019

Seramai 222 penghuni diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara selepas pangsapuri diduduki mereka mengalami keretakan serius sejak semalam.

Daripada jumlah itu, seramai 37 keluarga telah diarahkan berpindah selepas penemuan beberapa kesan keretakan di struktur bangunan berkenaan.

Amirudin juga memberi jaminan, sekiranya kajian serta pemeriksaan itu mendapati terdapat sebarang pergerakan tanah membawa kepada runtuhan pangsapuri tersebut, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bersetuju untuk melakukan kerja-kerja baik pulih.

“Berdasarkan pengalaman lalu, sekurang-kurangnya empat hingga enam bulan diperlukan untuk membaik pulih bangunan ini bagaimanapun hasil cerapan serta konklusi awal daripada pihak yang melakukan kajian perlu diperolehi terlebih dahulu.

“Persediaan awal telah dilakukan dan penempatan sementara juga telah disediakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Keramat di bawah pengurusan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya lagi. – MalaysiaGazette