Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim

BANGI – Jumlah golongan ibu bapa yang menolak vaksin di Selangor telah meningkat sebanyak dua kali ganda pada tahun lalu berbanding tahun 2010.

Perkara itu didedahkan Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Khalid Ibrahim apabila memberitahu, akibat perkara itu kejadian kes penyakit cegahan vaksin telah menunjukkan peningkatan yang ketara pada tahun lepas berbanding tahun 2017 bagi penyakit measles dan penyakit pertussis.

“Terdapat juga kematian telah dilaporkan melibatkan measles dan pertussis pada 2018. Penyakit difteria juga turut dilaporkan berlaku.

“Majoriti daripada kes-kes ini tidak menerima suntikan vaksin (imunisasi) atau belum layak menerima suntikan vaksin kerana umur yang terlalu muda mendapat penyakit berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Hari Imunisasi peringkat Kebangsaan 2019 di sini hari ini.

Hadir merasmikan majlis pelancaran berkenaan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Sementara itu, Dzulkefly ketika ditemui media bagi mengulas mengenai perkara itu berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan sentiasa saling berhubungan dengan orang ramai terutamanya terhadap golongan anti vaksin berkenaan.

Jelas beliau, pihaknya sentiasa memberikan input kesihatan yang jelas menerusi media sosial selain dibantu dengan promosi oleh media-media massa.

“Pihak media arus perdana memainkan peranan yang amat penting. Penyampaian mesej yang betul dapat meyakinkan masyarakat mengenai kepentingan imunisasi dalam pencegahan Penyakit.

“Isu yang timbul berkaitan vaksin perlu ditangani dengan memberi maklumat yang tepat oleh pakar-pakar perubatan yang bertauliah,” ujarnya. – MalaysiaGazette