Dr. Rais Yatim

KUALA LUMPUR – Tan Sri Rais Yatim menasihatkan Tunku Mahkota Johor menghentikan sindirannya mahu Perdana Menteri diganti kerana itu hak rakyat biasa.

Menurut beliau, Tunku Ismail Sultan Ibrahim banyak bercakap tentang  politik, lantaran itu meminta beliau mendaftar dalam parti politik.

“Kalau mahu cakap politik sila daftar masuk parti politik. Lopak raja lain. Ruang politik lain,” katanya menerusi Twitter,

Rais berkata, TMJ jangan campur aduk selera anak raja sahaja kerana dinanti akan menghuru-harakan rakyat.

“Tolong waras,” pesan Rais yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia cawangan Negeri Sembilan.

Sebelum itu, Tun Dr Mahathir Mohamad juga berkata, hanya rakyat sahaja yang boleh tukar perdana menteri bukan TMJ.

Ini kerana, TMJ bukan “orang besar” untuk menukar perdana menteri.

Dr Mahathir berkata demikian merujuk kepada kenyataan TMJ dalam video yang tular di media sosial baru-baru ini.

Terdahulu, tular rakaman video memaparkan TMJ meninggalkan Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos di Larkin, Johor selepas perlawanan Kejuaraan Liga AFC.

Ketika kenderaan SUV berwarna hitam yang membawa Tunku Ismail lalu, peminat JDT melaungkan “hidup TMJ” tetapi ada seorang penyokong pula berkata “tukar Mora”, yang merujuk kepada jurulatih JDT, Benjamin Mora.

Susulan itu, kenderaan SUV membawa TMJ tiba-tiba berhenti dan beliau didengar sebagai berkata, “daripada tukar Mora, baik tukar perdana menteri”.- MalaysiaGazette