SUNGAI BESAR – Pentadbiran Putrajaya dijangka ‘bertukar tangan’ daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Hari Raya Aidilfitri ini.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa, ia ekoran ‘peperangan’ yang bakal tercetus di antara kedua-dua tokoh itu yang dilihat berebut jawatan Perdana Menteri.
“Genap 9 Mei ini, genap setahun dan bila-bila masa dalam bulan enam ini (Jun), paling lewat pun lepas raya, perang akan meletus antara Anwar dan Mahathir. Sesuatu bakal berlaku, kerajaan akan bertukar tangan.
“Anwar ini kalau dia nak, macam mana pun dia kejar sampai dapat,” katanya berucap pada Kenduri Penyatuan Ummah anjuran UMNO Bahagian dan Pas Kawasan Sungai Besar malam tadi.
Lokman selaku Presiden Pemantau Malaysia Baru juga mendakwa, Mahathir tidak akan membenarkan peralihan itu berlaku dan beliau tidak akan memberi laluan kepada Anwar.
“Mahathir pula saya boleh berani jamin sampai mati pun dia takkan bagi Anwar menjadi Perdana Menteri kerana dia tidak mahu menjadi manusia yang mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri, si peliwat negara,” katanya.
Dakwanya lagi, salah satu cara terakhir untuk menghalang kemaraan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu daripada merebut jawatan Perdana Menteri ialah dengan membubarkan Parlimen.
“Jadi kalau dia dah tak ada pilihan, keputusan yang bakal diambil oleh Mahathir ialah dia akan bubarkan Parlimen, itu sahaja.
“Bila dia bubarkan Parlimen, jangan sampai pula UMNO dengan Pas tak bersedia,” katanya.
Lokman turut tidak menolak kemungkinan tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tergesa-gesa menandatangani beberapa perjanjian antarabangsa yang tidak termaktub dalam manisfesto kerana mereka bakal kehilangan kuasa.
“Dia utamakan dulu benda yang dia tak pernah janji kepada rakyat, ada tak janji nak buat ICERD? Tak ada. Ada dia janji tandatangan Statut Rom? Tak ada. Kenapa mereka utamakan benda yang ini dulu?
“Sebabnya, dia tahu dia bukan kerajaan sepenggal,. dia hanya kerajaan setahun dan setahun ini hanya menghitung hari,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
pembohong sedang menghasut rakyat. paling awal mahadir lepas jawatan selepas dua tahun. bukan setahun.